Diet & Kesihatan Wanita

Dear Mom Entry #1: Dilema Seorang Ibu

Isu Berbangkit

Dilema seorang ibu bila berhadapan situasi begini. Banyak kali anak sulung tanya, “kenapa kawan-kawan Along, dapat 8A, dapat 6A semua mak diorang bagi hadiah, ada yang dapat iPhone. Tapi Along tak dapat pun”.
Alahai sedih sangat dalam hati anak tu. Tapi tak apa, sebagai mak yang kebal, saya pun sediakan hujah saya.
Anak sulung dah besar panjang
Sejujurnya saya tahu anak sulung akan bangkitkan isu ini. Walaupun dah beberapa bulan keputusan ujian UPKK(Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardhu-Ain) keluar, memang saya dan suami tak ada buat sambutan atau pengiktirafan khusus.
Kami bersepakat supaya anak kami tidak hanyut dengan pengiktirafan. Begitu pemikiran kami, dan cara kami. Ada juga yang selesa bagi anak-anak reward, itu pun tak ada salahnya. Tapi semua dengan cara tersendiri.

Reward Sebagai Motivasi?

Bila fikir balik, iya betul memang akan menyedihkan bila kita dah ‘all-out‘ dan dapat keputusan cemerlang, tapi mak ayah kita macam tak buat apa-apa kan. Hadiah pun tak bagi. Tak ada kek, tak ada belon. Saya totally faham perasaan anak sulung saya ketika itu.
Tapi hari keputusan diumumkan, kami ucap tahniah dan peluk erat tubuh kecil anak sulung. Yang 12 tahun lalu hanya seberat 2.8KG, tapi sekarang ni hampir sama tinggi dengan saya dah.
“MasyaAllah, tahniah Along, Along usaha, Allah yang bagi rezeki ni. Tahniah untuk kerja keras Along dan cikgu-cikgu juga”, antara apa yang saya cakap pada anak sulung, di hari keputusan UPKK diumumkan.
Keputusan UPKK saya sekitar 26 tahun lalu
Anak sulung rasa tidak diraikan bila dia dapat result UPKK 9A tapi tak dapat apa-apa hadiah. Dia tak tahu, mak dia pun straight As jugak untuk UPKK berpuluh tahun dulu. Ini sijil
bukti kalau dia tak percaya.

Dulu Lain Sekarang Lain

Walaupun keputusan cemerlang dulu kala, saya tak ada mintak hadiah dari Ma Abah. Tak ada nak terasa hati dan nak claim itu ini. Yang kelakar, saya pun tak tahu sama ada Ma dan Abah saya tahu atau tidak tentang keputusan ni. Rasanya saya tak bagitahu pada mereka pun.
(Cuma masa masuk sekolah asrama je banyak menangis dan hampir setiap hujung minggu kena ada lawatan dari Ma Abah. Kahkah. Itu memang menyusahkan dan menghabiskan banyak duit ya. Sudah lah kena melawat, setiap kali lawatan syaratnya kena pergi makan, jalan-jalan dan topup barang keperluan. 
Ada sekali tu, Abah terpaksa juga datang asrama saya di Dungun dari Kuala Lumpur sebab saya nak beli walk-man untuk bawa berkhemah. Mana saya belajar pasal walk-man ni? Belajar dari kawan yang ada disc-man. Berapa ribu berhabis duit kat saya seorang, tak boleh dan tak terkira la. Habis episod walk-man, minta pula handphone sebab kawan dah bawa handphone)
Pengaruh rakan sebaya di asrama, kawan ada handphone, menangis juga nak handphone
Sebelum saya respon pada pertanyaan anak sulung tadi, saya pun fikir sejenak. Zaman saya dulu tak ada lagi media sosial. Situasi pegang handphone di kalangan anak-anak sekolah rendah pun bukan kebiasaan macam zaman sekarang.
Kalau sekarang, umur 5 tahun kebanyakan dah ke sana ke sini dengan handphone di tangan. Itu ‘kebiasaan’ zaman sekarang. Bukan kesalahan dan bukan perkara yang wajib diberikan pada anak-anak, itu masih pegangan saya. Jadi valid saja pertanyaan anak saya.

Validate the Feelings

Saya faham anak saya pun ada perasaan peer pressure bila duduk dengan kawan-kawan, dengan sepupu yang kebanyakan sudah ada handphone sendiri. Bukan saya nak haramkan handphone pada anak-anak, tapi saya tetap dengan pendirian bahawa handphone untuk umur sekarang masih bukan satu keperluan.

Perasaan anak-anak itu valid, untuk mereka rasa sedih dan kecewa. Kita sebagai ibu tak boleh sekat. Dan saya selalu ingatkan diri sendiri, jangan senyapkan anak yang menangis. Tapi bantu mereka supaya mereka boleh salurkan emosi dan recognise perasaan tersebut. Bukan senang, tapi perlukan latihan bertubi-tubi untuk jadikan ia kebiasaan.

Saya lebih suka bagi random rewards kepada anak-anak

“Mom faham Along sedih kan sebab kawan-kawan semua dapat hadiah”, saya cakap sambil peluk anak sulung.

“Tapi mom belum nampak lagi keperluan handphone untuk Along buat masa sekarang. Sekarang Along banyak masa tolong mom, sama-sama jaga rumah dan ada sama-sama boleh duduk gini. Kalau ada handphone nanti, banyak masa dengan handphone dah”

Sebagaimana saya buat keputusan untuk tak letak televisyen di rumah, seperti itu juga handphone. Banyak kali saya ulang, dan saya akan terus ulang bila anak-anak tanya tentang handphone.

Ajar Anak Konsep Rezeki

Saya bukan ibu yang baik, jauh sekali untuk capai tahap perfect. Ada masa saya pun tersungkur dengan emosi sendiri, ada masa saya juga tak terbuat apa yang saya tulis. Tapi yang pasti dalam hati setiap kita sebagai ibu, kita nak jadi versi yang terbaik kan?

Begitulah, apa yang saya cuba bila nak terapkan konsep rezeki. Anak sulung saya sudah masuk umur 12 tahun, jadi tak terlalu cepat kalau saya beritahu beliau konsep rezeki ni. Dan kita boleh biasakan berbincang secara matang dengan anak-anak seawal yang mungkin.

“Along kena faham konsep rezeki. Lagipun mom tak cakap tak boleh pegang phone, tapi belum sampai masa. Kalau sampai masa nanti, mom bagi iPhone 50 (yang ni mom tambah dialog)”
Betul dalam dilema seorang ibu.
Anak saya tanya, “bila masa yang sesuai tu?”
“Masa yang handphone akan berguna untuk kita berkomunikasi. Untuk sekarang, mom dengan papa ada dengan Along. Along sekolah setiap hari, mom dengan papa akan ambik. Jadi kita tak perlukan phone untuk berhubung kan sebab kita masih dekat. Betul?”
Walaupun anak seolah-olah tak faham, tapi percayalah mereka akan hadam satu persatu apa yang mak ayah beritahu. Cuma satu saja pantang larang, jangan abaikan perasaan anak-anak.
Raikan apa yang mereka rasa. Tak mengapa untuk tak bersetuju, cuma perlu ada dan fahami apa yang mereka rasa.
“Kalau Along nak Nintendo Switch?”
“Okey boleh tunggu habis semua exam dulu. Sebab nanti kalau sibuk dengan game, Along tak sempat nak belajar pulak kan”.
Bukan nak melambatkan, cuma nak bagi anak-anak belajar “delayed gratification” supaya bila dewasa nanti, dia boleh berfikir sebelum buat apa keputusan. Selain dari mengajar anak-anak supaya buat sesuatu bukan semata-mata balasan.
Saya sendiri pun banyak silap dan masih belajar. Memang tak terlepas ada dalam dilema seorang ibu. Harapnya semoga anak-anak tidak ulang sejarah kesilapan mak dia sendiri. Begitulah.

Menjadi Seorang Ibu…

Walapun kita ibu yang melahirkan, kita bukan lah sentiasa lebih baik daripada anak-anak. Dan kita bukan sentiasa mengajar. Kita juga boleh  belajar banyak hal daripada anak-anak. Ilmu yang belum tentu ada dalam buku, tetapi boleh jadi ia ada depan mata kita.
Anak-anak juga banyak mengajar
Kalau buku sebagai teori, anak-anak ialah ujian untuk kita tahu di mana tahap kita berada. Dilema seorang ibu tetap ada. Jangan risau walau banyak ujian dan badai menimpa, Allah yang uji kita, Dia-lah juga yang akan beri solusi. Apa saja masalah, mengadu pada Dia sebab hanya Dia yang tak akan pernah biarkan kita bersendiri.
p/s Mak ni sibuk cari duit untuk misi lagi besar. Yang nak sama-sama dapat income 3-4 angka dari rumah, boleh join saya kat sini.
Nina Salleh | Empowering Moms