Pengalaman Peribadi: Sakit Selepas Pasang IUCD, Tak Sampai 24 Jam Terpaksa Buang
Kejadian ni berlaku selepas saya melahirkan anak kedua, hujung tahun 2015.
Sebagai seorang ibu, saya percaya setiap wanita berhak memilih kaedah perancang kehamilan yang sesuai dengan badan dan gaya hidup masing-masing.
Selepas berbincang dengan suami dan membuat sedikit bacaan, untuk kali ni saya memilih untuk cuba rancang kehamilan dengan IUCD (Intrauterine Contraceptive Device), atau lebih dikenali sebagai “alat dalam rahim”. Ramai kata ia mudah, selamat, dan boleh tahan bertahun-tahun.
Lebih meyakinkan sebab doktor pun cadangkan untuk saya guna kaedah ini berbanding injection yang akan merubah keadaan hormon atau pil yang berkemungkinan lupa untuk makan setiap hari.
Tapi pengalaman saya sendiri jauh berbeza daripada apa yang saya bayangkan. Memang ngeri dan saya masih terasa walaupun hampir 10 tahun sudah berlalu..
Kenapa Pilih IUCD?
Selepas bersalin anak kedua, saya memang mencari kaedah perancang yang tidak perlu diambil setiap hari seperti pil perancang, dan tidak memerlukan suntikan setiap beberapa bulan.
Waktu tu saya mahukan sesuatu yang “pasang sekali, boleh lupa” untuk jangka masa panjang. IUCD nampak seperti pilihan terbaik. Ia tidak mengganggu hormon dengan ketara (terutama untuk jenis tembaga atau copper IUCD), tidak memberi kesan pada susu badan, dan doktor kata ia boleh bertahan sehingga 5 atau 10 tahun bergantung jenis.
Proses Memasang IUCD
Pada hari pemasangan, saya pergi ke klinik klinik kesihatan ibu dan anak mengikut temujanji biasa. Doktor memang berkali-kali terangkan langkah-langkahnya dan memeriksa kedudukan rahim saya terlebih dahulu.
Prosesnya pemasangan ini agak tidak selesa, ada rasa seperti senggugut kuat semasa alat dimasukkan. Seperti biasa, disebabkan pain threshold saya agak tinggi, saya cuba tahan selagi mampu. Walaupun sakit mencucuk tidak ada tanda untuk hilang pun selepas pemasangan, saya fikir mungkin ini rasa di awal pemasangan yang mana normal untuk para ibu.
Doktor pun ada kata sedikit cramp selepas pasang adalah perkara biasa dan akan hilang dalam masa beberapa jam. Jadi saya kekal cuba bertahan. Seingat saya, waktu selepas pasang pun pain score antara 4-5 dari 10.
Rasa Sakit yang Luar Biasa
Namun, selepas balik rumah, rasa seperti sakit kontraksi malah lebih dari waktu nak bersalin, sakit yang semakin kuat. Bukan sekadar lenguh-lenguh perut seperti masa haid, tapi ia datang dengan sakit menikam, rasa di pulas-pulas di bahagian bawah perut. Bayangkan anak nak menyusu, saya tak dapat beri sebab dalam kesakitan.
Malam itu, saya tetap juga dari duduk, ubah ke posisi baring. Dari mengiring, cuba juga terlentang mana tahu dapat kurangkan sakit. Tapi langsung tidak boleh tidur. Sakit semakin memuncak, malah setiap kali bergerak, saya rasa seperti ada sesuatu yang “mencucuk” di dalam rahim. Perut saya rasa senak dan sangat tidak selesa. Saya mula rasa pelik sebab ini bukan sakit biasa yang orang selalu cerita.
Pergi ke Kecemasan
Disebabkan tak boleh tidur, dalam jam 2 pagi saya terpaksa juga ajak suami untuk terus ke jabatan kecemasan di Hospital Kuala Lumpur. Sakitnya memang saya tak boleh nak tahan lagi.
Selepas pemeriksaan, doktor membuat imbasan dan mendapati kedudukan IUCD saya semuanya tiada masalah. Nampak pada ultrasound alat itu dalam keadaan yang baik. Ada dalam rahim dan bukan di luar. Kesakitan yang kuat buat saya rasa seperti alat ni dah tembus keluar. Mencucuk, memulas, rasa seperti ditarik bahagian uterus ni.
Doktor memberi pilihan adakah saya ingin biarkan IUCD ni dalam rahim atau ingin membuangnya. Sepantas kilat tanpa fikir lagi, saya terus beritahu doktor untuk buang saja IUCD sebab tak sanggup lagi menanggung sakit.
Proses keluarkan tidak lama, tapi rasa lega yang saya dapat selepas itu sukar digambarkan. Sakit yang menghantui saya sejak semalam hilang serta-merta. MasyaAllah, dalam ujian begini, saya tetap syukur dapat juga peluang merasa pakai IUCD untuk merancang kehamilan walaupun tak sampai 24 jam.
Apa yang Saya Belajar dari Pengalaman Ini
Pengalaman ini membuatkan saya sedar yang setiap tubuh wanita adalah unik. Apa yang berkesan dan selesa untuk orang lain, tidak semestinya sesuai untuk kita. IUCD memang selamat dan efektif untuk ramai wanita, tapi ada juga yang tidak serasi atau menghadapi komplikasi seperti:
-
IUCD tidak berada pada kedudukan betul (malposition)
-
Sakit senggugut teruk berpanjangan
-
Pendarahan berlebihan
-
Risiko jangkitan jika tidak dipasang dengan betul atau kebersihan tidak dijaga
- IUCD terkeluar dari rahim (kisah sahabat saya tembus ke appendix)
Ini antrara keadaan di mana IUCD boleh ‘lari’ dari kedudukan asal
Alternatif Lain untuk Perancang Kehamilan
Jika anda pernah mengalami kesan sampingan teruk seperti saya, ada banyak pilihan lain yang boleh dipertimbangkan, antaranya:
-
Pil perancang hormon rendah
-
Suntikan depo-provera
-
Implanon (rod hormon di lengan)
-
Kaedah semula jadi seperti ovulation tracking (dengan pengetahuan yang betul) dan bagi mereka yang ada kitaran haid yang teratur
Penting untuk berbincang dengan doktor dan mempertimbangkan sejarah kesihatan sebelum memilih.
Nasihat untuk Wanita yang Mahu Pasang IUCD
-
Pilih klinik/doktor yang berpengalaman. Kemahiran pemasangan sangat mempengaruhi keselesaan.
-
Pantau gejala selepas pasang. Jika sakit terlalu kuat atau berpanjangan, terus dapatkan pemeriksaan.
-
Buat follow-up. Biasanya selepas sebulan untuk pastikan kedudukan betul.
-
Percaya pada intuisi badan sendiri. Jika rasa “tak kena”, jangan tunggu.
Sungguh perit dan menyakitkan, tetapi saya tidaklah menyesal mencuba IUCD kerana ia membuka mata saya untuk lebih memahami tubuh sendiri. Walaupun pengalaman saya berakhir dengan sakit dan kecemasan, saya tetap bersyukur sebab saya cepat membuat keputusan untuk membuangnya.
Bagi wanita lain, mungkin IUCD adalah pilihan terbaik. Namun bagi saya, ia bukanlah kaedah yang serasi. Yang penting, sentiasa utamakan kesihatan, jangan abaikan rasa sakit, dan pilih kaedah perancang yang membuatkan diri kita berasa selamat dan selesa.
Nina Salleh | Dari wanita untuk wanita