Memandangkan tahun 2020 ialah tahun di mana kita semua dilanda wabak Covid-19 dan ramai yang dibuang kerja, saya nak kongsikan tips untuk mulakan bisnes dari rumah. Mungkin beri idea baru kepada kalian yang masih mencari-cari bagaimana untuk mulakan kembali kerjaya dalam kesamaran. Sementara itu, dengan apa yang ada kita buat perlahan-lahan dan bina semula dari kosong.
Dalam tak sedar, tahun 2020 berlalu begitu sahaja. Wawasan 2020 yang belum ada cahaya serta tanpa kereta terbang di Malaysia. Namun, hidup perlu diteruskan serta pendapatan perlu dicari.
Walaupun jarang beli barang dapur sendiri, tapi saya tahu harga bawang merah 1 kilogram mencecah RM14, naik dua kali ganda dari sebelumnya. Rata-rata peniaga pun turut terjejas sehinggalah kita di peringkat end-user tak terkecuali untuk terasa tempiasnya.
5 Tips Memulakan Bisnes Dari Rumah
Nampaknya tahun ini, dengan kenaikan kos sara hidup dan elaun yang telah dipotong untuk para doktor yang mula bertugas, kita tidak ada banyak pilihan melainkan untuk tambah pendapatan melalui bisnes. Kalau sibuk berkerja, maka pilihlah untuk menjual secara online supaya dapat menampung kenaikan kos sara hidup dengan gaji yang diterima.
Seperti kata Prof Muhaya, orang yang reaktif akan marah dan melenting dengan situasi yang dihadapinya. Manakala orang yang proaktif akan melihat kepada diri sendiri dan berfikir,
“Apa yang saya boleh buat untuk dapat hasil yang berbeza”.
Kali ini saya nak kongsikan 5 tips berniaga terutama untuk surirumah bagi membantu suami untuk ringankan beban kewangan dan juga sebagai pendapatan tambahan.
1. Berbincang dengan suami
Sokongan dan redha dari suami amatlah penting bagi seorang isteri, maka sebelum mula berniaga, bincanglah dan dapatkan persetujuan dari suami. Selepas ini, kita akan perlukan banyak doa dari suami untuk memastikan kelancaran perniagaan.
Namun, ada juga suami yang tidak membenarkan kita berniaga walaupun dari rumah atas sebab tertentu. Mungkin risau keadaan rumah dan anak-anak akan jadi tidak terurus, maka usahakanlah untuk fahamkan suami dengan ikut tips seterusnya.
2. Jangan manjakan diri
Berniaga dari rumah dan jadi bos sendiri perlukan disiplin yang tinggi. Di rumah, kitalah yang yang bertanggungjawab memastikan berapa pendapatan yang kita akan jana. Harus diingat tiada lagi orang atasan yang akan memarahi seandainya kita leka.
Maka, jadilah seorang bos yang tegas untuk diri sendiri.
Tanpa ketegasan terhadap diri sendiri, banyak beri alasan serta sibuk menuding jari kepada perkara yang tidak dapat dikawal hanya akan membazirkan masa.
3. Sediakan ruang untuk berkerja di rumah
Ruang ini tidak perlulah luas hingga perlu sewa rumah yang lain. Memadai untuk memuatkan buku catatan dan telefon pintar agar kita lebih fokus dan serius uruskan perniagaan sendiri walaupun dari rumah.
Terutama bagi yang ada anak-anak, ruang berkerja ini akan membantu untuk lebih produktif.
4. Gunakan apa yang ada di tangan
Sebelum mulakan apa-apa perniagaan, sebolehnya dengan ekonomi yang semakin mencengkam, pilihlah perniagaan yang tidak perlukan modal puluhan ribu ringgit.
Kalau terpaksa bergolok gadai dan korek tabung simpanan demi untuk memulakan bisnes yang belum pasti penyudahnya bagaimana, bimbang kelak diri sendiri yang rugi.
Ada banyak pilihan untuk mula bisnes dari rumah tanpa perlu keluarkan modal antaranya:
-
Ejen dropship
-
Penulis sekiranya ada bakat dan kebolehan
-
Affiliate. Kongsi link dan terima komisen
Bermula dengan modal yang kecil atau tanpa modal, kumpulkan keuntungan serta jangan rompak duit bisnes agar ia boleh dikembangkan. Jangan malu untuk bermula kecil-kecilan kerana dari langkah kecil akan bawa kita kepada kejayaan yang lebih besar.
5. Tetapkan waktu berkerja
Walaupun berniaga dari rumah, pastikan untuk tetapkan waktu berkerja. Ini akan membantu kita agar lebih berdisiplin dan tidak sambil lewa uruskan masa. Waktu berkerja, fokus untuk kerja kita sepenuhnya. Habis waktu berkerja, fokus untuk jaga rumah, suami dan lengkapkan keperluan anak-anak.
Untuk saya sendiri, anak-anak dan suami sedia maklum dengan tanggungjawab serta urusan bisnes saya. Jadi bila di rumah, seawal pagi saya akan sediakan sarapan untuk suami dan anak-anak sebelum memulakan bisnes.
Sebagai isteri, walaupun kita bisnes dan ada pendapatan sendiri, suami tetap perlu diutamakan. Dalam kita berusaha untuk menambah pendapatan demi membantu suami, jangan pula kita abaikan tuntutan serta hak suami. Apatah lagi untuk membelakangkan suami dengan alasan bisnes ia boleh menjadi barah dalam rumahtangga.
Jadi sentiasalah bersederhana dan jaga batas-batas sebagai isteri dan juga ibu kepada anak-anak terutamanya batas masa.
Untuk kalian yang berminat untuk mulakan bisnes dari rumah, terus klik link untuk daftar sebagai agen TBS Warriors dan dapat guide sepenuhnya dari saya sendiri.
Nina Salleh,
Sudah lebih 5 tahun bina pendapatan dari rumah bersama-sama suami.