Coach Diet FBM & GGA

Cara Buka Akaun Simpanan SSPN untuk Anak

Tak terasa sebulan puasa hari tu. Pejam celik dah masuk ke bulan Syawwal. Tahu-tahu tak sampai 2 minggu je lagi bulan raya akan melabuhkan tirai. Rupanya lepas habis raya baru saya dapat kongsikan cara untuk buka akaun simpanan SSPN untuk anak ni.

Kenangan Raya 2022

Rasa macam baru semalam je angkut Fatima ke masjid. Alhamdulillah, Fatima senyap je sepanjang saya solat. Ada satu kali je Fatima berak dan terpaksa tukar pampers waktu jemaah lain sedang solat.

Fatima ke masjid untuk berterawih

Ada juga tragedi berdarah bila Eisyal terhantuk kepala di dinding masjid hingga dahi terbelah, yang buat kami semua tidur dalam kereta di perkarangan hospital sementara menunggu rawatan beberapa hari sebelum raya.

Selepas 2 tahun beraya dalam rumah ni, yang lagi istimewa sebab kita semua meraikan raya dengan keadaan terkejut! Awal sehari daripada tarikh jangkaan 1 Syawwal. Semua persiapan pun terpaksa diawalkan. Sampai tak tidur malam demi nak pastikan persiapan selesai.

Simpan RM50 sebulan untuk anak pun dah banyak kalau konsisten

Antara kenangan yang tak dapat dilupakan, selepas pengumuman tarikh hari raya, saya dan suami bergegas ke Jakel Kubang Kerian sebab persalinan suami untuk hari raya pertama belum lagi dibeli. Mujurlah ada warna yang sedondon dengan seluruh keluarga.

Malam tu juga, biras saya gigih ke sana sini demi beberapa helai daun kunyit untuk dibuat rendang daging. Memang seperti yang dijangka jalan jem teruk. Akhirnya, rendang daging memang tak dapat dijamu sebab daun kunyit tak berjaya dicari. Tapi tak mengapa sebab nasi dagang tradisi mak mertua tak ketinggalan. Dua tahun tak merasa, ini kali lah kami semua makan puas-puas tanpa fikir berapa kilogram berat akan naik. HahašŸ˜…

Hari Raya Untuk Kembali Kepada Fitrah

Seronoknya hari raya ni bila dapat berkumpul ramai-ramai. Yang jauh, dekat, jarang atau kerap berjumpa semuanya ada. Bulan untuk mohon kemaafan setelah melalui madrasah Ramadan. Dengan harapan, kita berjaya keluar sebagai seorang yang baru; kembali kepada fitrah, diampunkan dosa-dosa serta diterima segala amalan. Ameen.

ā€œBetulke raya ni, sayang?ā€, haa camtu lah agaknya dialog ni

Bulan ni juga anak-anak tumpang seronok sebab dapat jumpa ramai sanak saudara, dapat bermain tanpa sempadan masa dan tak perlu lagi menahan lapar dan dahaga. Alhamdulillah, tahun ni Amanda dan Maryam dah mula berpuasa penuh. Mereka puasa 26 hari, satu pencapaian hebat untuk yang baru bermula. Raikan saja pencapaian anak-anak walaupun kecil diĀ  mata kita yang dewasa ni.

Cara Untuk Simpan Duit Raya Anak-anak

Habis je beraya, masing-masing sibuk minta kirakan duit raya. Maklumlah, 2 tahun tak beraya semeriah begini. Hampir lupa macam mana perasaan dapat duit raya dalam sampul. Gitulah anak-anak ni. Mereka sedang menikmati zaman kanak-kanak sama seperti kita waktu kecil dulu. Istimewa kali ni Amanda dan Maryam dan mula berpuasa penuh seharian dan saya juga mula tegas bab solat. Saya nak anak-anak tahu yang solat itu wajib walaupun kita sedang berpuasa.

Maryam dan Amanda dengan jadual aktiviti solat, puasa dan mengaji mereka

Rezeki tahun ni merekla dapat merasa kembali terima sampul raya. Bersalam-salaman, ziarah menziarahi dan memenuhi jemputan keluarga dan kawan-kawan.

ā€œMom, nanti simpan duit Amanda dalam bankā€

Saya dah beritahu dan sentiasa ulang pada anak-anak, dapat duit jangan boros ingat nak membeli saja. Simpan dalam bank supaya nanti bila terdesak nanti boleh guna. Ada juga yang mereka sendiri agihkan untuk diberi kepada kawan-kawan. Itu saya pun setuju. Selain buat kawan-kawan gembira, anak-anak juga belajar untuk berkongsi rezeki. Hari raya ni kita bukan saja nak menerima, malah nak didik hati supaya lebih ringan untuk memberi juga.

Ada beberapa saluran yang saya nak cadangkan untuk simpan duit raya anak-anak. Saya kongsikan antara yang paling biasa dibuat, paling rendah risiko dan paling mudah untuk dilakukan.

1.Simpanan SSPN plus

Sebenarnya saya dah lama dengar pasal SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional). Lepas baca dan teliti, rasa rugi jugalah sebab terlambat buat keputusan untuk buka akaun simpanan anak di sini. Bila saya kaji sedikit sebanyak, tanya kawan-kawan yang lebih awal menabung di sini, SSPN ni sangat bagus namun tak ramai yang mengambil manfaat termasuklah saya sendiri. Lepas baca perkongsian saya di sini moga lebih ramai dapat pertimbangkan untuk menabung di SSPN.

Ini beberapa faktor yang membuatkan saya tertarik dengan SSPN plus, dan rasanya semua ibu bapa patut buka akaun ni untuk anak-anak. Antaranya:

Banyak lagi kelebihan membuka akaun SSPN-i untuk anak-anak yang boleh dimulakan seawal anak berumur 1 hari. Kiranya lepas kelahiran, terus buat surat beranak dan buka akaun SSPN ni. Haa gigih gitu.

Cara untuk buka akaun SSPN plus untuk Anak

Tak susah pun untuk buka akaun SSPN plus, ianya boleh dibuat secara atas talian. Elok sambil berpantang terus buka akaun untuk bayi. Tidak perlu bersesak atau beratur, kalau ada anak ramai macam saya, memang satu rahmat besar sangat kan.

Akaun SSPN-i pula ada 2 jenis iaitu:

  1. Akaun SSPN-i yang tidak memerlukan komitmen bulanan. Sekiranya ingin tambahkan simpanan, boleh berbuat demikian pada bila-bila masa
  2. Akaun SSPN-i plus yang memerlukan komitmen bulanan. Perlu masukkan simpanan tetap setiap bulan bergantung kepada pakej yang dipilih, bermula dengan RM30.
Langkah mudah untuk buka akaun SSPN-i plus

1.Masuk ke laman web SSPN-i plus di sini

2.Isikan nombor kad pengenalan penjaga (bukan anak-anak) dan email.

3.Masukkan kata laluan sementara yang dihantar melalui email. Kemudian teruskan dengan isi maklumat untuk membuka akaun.

4.Pilih syarikat takaful antara Hong Leong, Takaful Ikhlas dan Great Eastern.

Pilihan pakej dan syarikat insurance

5.Buat bayaran minimum untuk 2 bulan. Seterusnya, mula dengan membuat penolakan melalui akaun bank.

Tambahan simpanan juga boleh dibuat secara atas talian

6.Setelah selesai, satu slip yang boleh dicetak akan diberikan. Untuk membuat tambahan simpanan di masa akan datang, hanya masukkan nombor kad pengenalan penjaga dan pilih sahaja akaun yang ingin ditambah.

Sekiranya ada 4 orang anak, ulang sahaja langkah yang sama.

2. Simpanan Tabung Haji

Tabung Haji ni antara yang menjadi pilihan ramai ibu bapa juga. Selain sebagai medium simpanan, ada zakat yang akan dipotong. Kiranya kat situ kita tak perlu lagi nak bayar zakat, bahagian simpanan Tabung Haji dah selesaikan.

Simpan di Tabung Haji minimum RM1300, boleh terus daftarkan anak-anak kita untuk tunaikan haji. Boleh la jimat 100 tahun ikut kuota. Haha. Mudah-mudahan ada umur yang panjang, dapat kita menunaikan rukun Islam ke-5 ni waktu badan masih sihat dan bertenaga.

Dokumen yang diperlukan untuk buka akaun anak:

Selain di Tabung Haji, pembukaan akaun akaun juga boleh dibuat di cawangan Bank Rakyat atau Bank Islam juga.

3. Simpanan emas

Simpanan sebagai emas ni sangat sesuai untuk jangka masa yang panjang. Harga emas boleh melambung dalam masa umur anak dari bayi hingga dewasa.

Zaman sekarang ni selain daripada beli barangan kemas untuk perhiasan, ada banyak lagi medium simpanan emas. Salah satunya ialah melalui Gold Accumulation Program (GAP) Public Gold. Yang ini pun boleh dibuat secara atas talian sahaja.

Sebagai ibu bapa, buatlah pilihan terbaik demi masa depan anak-anak. Tanamkan dalam diri anak-anak dan ajar untuk lebih berjimat-cermat. Tak rugi pun kalau kita jadi orang yang cermat. Namun itu bukan lah alasan untuk jadi kedekut pula ya.

Boleh menyimpan, harus juga ajar anak-anak supaya tidak lokek memberi. Kerana akhirnya semua yang ada ni hanyalah pinjaman semata-mata. Kalau ibu-ibu nak tambah pendapatan untuk buat simpanan bulanan anak-anak, saya boleh bantu dengan bisnes tanpa modal ni.

Nina Salleh | Empowering Moms

Ā 

Ā