Bila diri sendiri dah dewasa, sudah berkahwin dan melalui fasa bersalin dan berpantang, barulah boleh kaitkan dengan pesanan nenek satu ketika dulu,
“Jalan perlahan-lahan”
“Jaga ibu jari kaki jangan tersadung”
Pesanan begini tak lain hanya untuk jaga luka bersalin supaya cepat sembuh. Orang dulu-dulu tak guna istilah sains, tetapi di sebalik pesanan mereka pasti ada hikmah tersembunyi.
Begitulah nenek-nenek kita bila berpesanan.
Cara Jaga Luka Selepas Bersalin Normal Supaya Mudah Sembuh
Luka bersalin normal ialah apabila terdapat sedikit guntingan pada vagina semasa proses pengeluaran bayi. Ia juga dipanggil episiotomy, yang membantu memudahkan bayi untuk keluar dengan membesarkan sedikit size bukaan vagina.
Luka ini kemudiannya dijahit untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka. Disebabkan jahitan inilah wanita bersalin dinasihatkan untuk berjalan perlahan-lahan, bimbang ia akan terbuka dan perlu dijahit semula.
1. Berjalan dengan perlahan-lahan
“Jalan perlahan-lahan, jangan buka langkah macam nak berlumba lari. Nanti koyak tak pasal-pasal kena jahit lagi sekali”, ini antara pesanan nenek saya bila ada makcik yang baru bersalin normal pulang ke rumah untuk berpantang.
Keras bunyinya, namun pesanan sebegitu boleh menyelamatkan diri daripada dijahit ‘hidup-hidup’ bila jahitan asal selepas bersalin normal terbuka. Pengalaman dari dengar cerita rakan-rakan yang perlu dijahit untuk kali kedua, kata mereka lebih sakit dari waktu bersalin. Memang ngeri.
2. Pastikan kawasan sekitar luka episiotomy sentiasa bersih dan kering
Setiap kali selepas buang air besar atau kecil, bersihkan dengan air paip seperti biasa kemudian lap dengan kain bersih sehingga kering. Pastikan tidak ada saki baki najis atau darah nifas pada perineum, iaitu bahagian antara vagina dan anus. Sebaiknya, anginkan bahagian luka selama 5-10 minit setiap kali dibersihkan supaya betul-betul kering. Kuman mudah membiak di kawasan yang lembap dan tertutup.
3. Tukar pad dengan kerap
Pad dengan darah nifas terperap dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan jangkitan kuman pada perineum. Tukar pad setiap 2-4 jam atau setiap kali buang air besar dan air kecil.
4. Sitz bath selepas bersalin
Duduk di dalam air suam 3 kali setiap hari, selama 10 minit untuk membantu mengurangkan kesakitan dan membersihkan bahagian episiotomy. Rendaman air suam di bahagian vagina, anus dan perineum akan mempercepatkan penyembuhan luka dengan melancarkan peredaran darah dan akan merilekskan bahagian tersebut.
Sekiranya sembelit selepas bersalin, ia boleh menyebabkan koyakan sedikit pada bahagian anus. Sitz bath akan membantu mengurangkan kesakitan tersebut.
5. Elakkan sembelit
Masalah biasa selepas bersalin ialah sembelit. Boleh jadi disebabkan trauma dengan kesakitan jahitan pada luka bersalin, ibu-ibu akan menahan daripada membuang air besar. Ia juga boleh disebabkan oleh pemakanan yang tidak seimbang. Sama dengan waktu hamil, selepas bersalin juga perlu jaga makan dan pastikan pengambilan air, serat dan supplement kalsium dengan cukup.
Pengalaman ngeri saya sewaktu kelahiran anak pertama, sembelit yang teruk sehingga penuh dengan darah dalam mangkuk tandas akibat berlaku koyakan pada anus. Bukan sahaja sakit, malah buat diri sendiri trauma untuk buang air besar. Akibat koyakan tersebut, luka bersalin anak pertama lambat sembuh.
6. Cuci bahagian perineum dengan betul
Kaedah membersihkan perineum selepas membuang air besar seeloknya dibuat pada vagina terlebih dahulu, kemudian barulah mencuci anus, iaitu dari depan ke belakang. Ini bagi mengelakkan bakteria yang ada pada anus daripada menjangkiti kawasan luka episiotomy yang boleh mengakibatkan jangkitan kuman.
7. Jaga pemakanan selepas bersalin
Sistem badan manusia dicipta dengan unit asas iaitu sekecil-kecil sel. Sel badan yang berfungsi dengan baik akan membantu proses penyembuhan luka.
Pastikan untuk masukkan serat, protein, vitamin C dan juga karbohidrat dalam diet seharian untuk beri kesihatan kepada setiap sel yang membentuk sistem tubuh.
Ikuti 7 cara ini ini untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka selepas bersalin normal. Namun sekiranya ada gejala seperti ini di bahagian luka jahitan:
- Bengkak
- Bernanah
- Kemerah-merahan
- Keluar cecair yang berbau dari luka jahitan
- Demam
Ibu-ibu perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
Nina Salleh| Empowering moms