Nina Salleh | Diet & Kesihatan Wanita

Elakkan Pedih Ulu Hati Ketika Berpuasa Tanpa Ubatan

Waktu zaman sebelum kahwin , saya kerap juga kena pedih ulu hati , lagi-lagi kalau masuk bulan puasa. Mungkin sebab perut kosong dan salah pilih makanan. Bulan puasa je memang risau sebab takut berguling bergolek bila pedih ulu hati ni menyerang. Rasa panas dalam perut naik ke mulut, pahit macam ada asid di tekak itulah bila pedih ulu hati menyerang, perasaan yang amat tak selesa.

Kenangan mengusik Jiwa

Bila sebut pasal puasa ni, teringat pula memori masa kecik-kecik dulu. Kalau masuk bulan puasa je memang teruja sesangat. Sebenarnya bukan sebab nak puasa pun tapi sebab tak sabar nak siapkan baju, beg duit dan kasut baru untuk sambut raya. Awal-awal lagi dah buat persiapan nak pergi jelajah rumah jiran-jiran untuk kumpul duit raya. Kalau fikir balik, memang rasa berdosa ya sebab seolah nakkan Ramadan pergi pula. Ish.

Setiap kali bulan puasa, rutin sediakan makanan untuk anak-anak tetap diteruskan:)

Setiap kali bulan puasa kalau waktu siang je memang akan melepet. Tak larat, penat, haus, kering tekak, pedih ulu hati semua bergabung jadi satu. Masa tu berpuasa semata-mata menahan lapar dan dahaga je. Nak buat kerja lain memang tak larat langsung. Jangan kan nak sapu sampah, nak tolong emak di dapur pun tak larat dah macam mayat hidup. Haha

Waktu malam pula memang syok lah sebab boleh sambung bermain. Bila orang solat terawih, kita solat main-main. Sambil solat, jeling orang kiri kanan lepas tu bergelak terkekek-kekek. Siap solat, kena cubit dan dapat amaran dari makcik-makcik di kampung. Lepas tu akan ada sesi untuk makan moreh.

Kat kampung dulu makcik-makcik bergilir siapkan menu moreh. Kemudian kanan-kanak akan sambung main bunga api sekejap. Gitulah kitaran bila masuk bulan Ramadan zaman budak-budak saya dulu, penuh dengan aktiviti main-main dan banyak memori untuk dikenang.

Ramadan Bulan Untuk Lipatgandakan Amalan

Bila dah dewasa, berkahwin dan beranak pinak sekarang, bulan puasa bukan lagi semata-mata menahan lapar dan dahaga. Ada anak-anak yang perlukan perhatian, perlu disiapkan makanan dan perlu uruskan ambil dan hantar ke sekolah pula. Jadi memang tak ada peluang nak melepet macam zaman kecik dulu.

Hidup di Kuala Lumpur ni tak sama macam saya di kampung dulu. Bebas bermain tanpa had. Tunggu maghrib je baru reti nak balik rumah.

Bawa anak kecil ke masjid taklah susah sangat hehe

Tapi di sini saya cuba jugalah bawa anak-anak berbuka puasa di masjid. Bukan apa, nak bagi menghayati istimewa bulan mulia. Berbuka kemudian solat jemaah sama-sama saya harap perkara tu anak-anak akan ingat walaupun tak ada memori berpuasa dan morek di ‘balasoh‘ macam saya kecik dulu.

Tiada lagi Masalah Pedih Ulu Hati

Bila masuk bulan puasa, perkara yang saya risau kalau kena pedih ulu hati. Sebab itu sebolehnya elakkanlah dari timbul masalah pedih ulu hati.

Orang yang biasa kena pedih ulu hati, akan tahu apa yang menyebabkan masalah pedih ulu hati menyerang mereka. Macam saya, kalau lambat makan dan tak makan nasi, memang akan kena pedih ulu hati. Tapi itu cerita lama. Sekarang ni saya dah tak perlu hadap masalah pedih ulu hati lagi.

Bahaya Pedih Ulu Hati

Pedih ulu hati berlaku bila ada refluks asid dalam perut yang naik semula ke bahagian esofagus, iaitu saluran yang menghubungkan tekak dan perut. Bila jadi pedih ulu hati, memang lah bukan keadaan yang boleh mengancam nyawa, namun sekiranya dibiarkan tanpa apa-apa usaha untuk mengurangkan, masalah ni boleh merosakkan lapisan esofagus dan menyebabkan kanser esofagus.

Pedih ulu hati

Kalau memang kerap rasa pedih ulu hati, kena buat pemeriksan lebih lanjut. Di mana doktor akan masukkan kamera (Oesophagogastroduodenoscopy atau OGDS) ke dalam saluran perut untuk melihat dan mengenalpasti masalah sebenar.

Walaupun ada ubat yang dibekalkan, tetapi lebih elok untuk ketahui punca agar dapat dikurangkan gejala pedih ulu hati.

1.Pemilihan makanan 

Bulan puasa memang rambang mata dengan makanan di bazar mahupun nak masak sendiri. Tapi untuk yang ada pedih ulu hati, perlu lebih hati-hati dalam pemilihan makanan.

Masakan ikut permintaan anak-anak yang puasa

Ada makanan yang akan menerukkan  keadaan dan ada yang akan mengurangkan gejala pedih ulu hati. Orang yang ada masalah pedih ulu hati biasanya tahu makanan apa yang perlu dielakkan. Jadi untuk berbuka elakkanlah makanan tersebut.

2.Berhenti makan sebelum kenyang

Bila bulan puasa, waktu puasa tu lah memang akan rasa nak makan macam-macam bila berbuka puasa nanti. Maka boleh jadi makan berlebih-lebihan. Dari makan berlebihan ini mungkin akan ada makanan yang tidak dapat dicerna sepenuhnya.

Seeoloknya, pilih untuk berbuka puasa dengan air kosong dan minum protein shake sebelum makan makanan lain supaya dapat kawal selera dan nafsu makan berlebihan. Perlu diingat supaya jangan tergesa waktu berbuka puasa. Minum dan makan secara perlahan-lahan.

3. Makanan yang beralkali

Waktu berbuka puasa dan bersahur, utamakan untuk pilih makanan yang beralkali seperti pisang yang sudah ranum, ini untuk meneutralkan asid dalam perut seterusnya mengurangkan gejala pedih ulu hati.

Contoh buah-buahan untuk neutralkan asid dalam perut

Selain pisang, bunga kobis, tembikai dan jintan juga antara makanan yang beralkali.

4.Elakkan pakaian yang ketat

Pakai yang ketat terutama di bahagian perut akan menyebabkan gejala pedih ulu hati. Iyalah, bila kita pakai pakaian ketat, ia akan menekan perut. Jadi, asid dalam perut akan mudah untuk naik ke esofagus menyebabkan pedih ulu hati.

Pedih ulu hati banyak juga terjadi bila mengandung sebab bayi menekan perut

Situasi sama pada ibu mengandung yang alami pedih ulu hati. Bukan sebab pakaian yang ketat, tetapi sebabkan perubahan serta ada bayi dalam rahim yang menekan bahagian perut.

5.Usaha untuk Kurangkan Berat Badan

Berat badan yang berlebihan akan menyebabkan tekanan pada perut. Keadaan ini akan menyebabkan asid perut naik ke esofagus.

Jadi, manfaatkan bulan puasa ini sepenuhnya. Bulan puasa ni bulan yang bukan sahaja untuk amalan dilipatganda, tapi ia adalah bulan untuk badan menyahkan toksin dengan detoksifikasi bila berpuasa.

Puasa tanpa makan dan minum, bukan seperti intermittent fasting, beri kesan yang lebih baik untuk turunkan berat. Jadi, fokus untuk turunkan berat badan dengan pemakanan yang seimbang dan boleh kekal sebagai gaya hidup. Dapat berat ideal bukan untuk kurangkan pedih ulu hati semata, tetapi ia akan ubah tahap kesihatan kepada yang lebih baik.

Selain itu, yang paling penting ialah kurangkan stres dan dapat tidur yang cukup. Waktu puasa, sebolehnya tidur awal untuk persediaan sahur dan terus bangun pagi dengan badan yang segar. Tidur lambat bukan saja boleh menyebabkan pedih ulu hati, tapi nanti boleh jadi terlajak sahur kang menangis. Hihi.

Kesimpulannya, untuk hilangkan gejala pedih ulu hati ni sebolehnya elakkan bergantung dengan ubat semata-mata. Dapatkan pemeriksaan lanjut untuk ketahui punca. Sekiranya umur pun dah lebih 30 tahun, kalau dapat serangan pedih ulu hati periksalah sebab bimbang masalah lain pula yang datang. Sama-sama usaha untuk jaga kesihatan.

Kalau ada tips tambahan, masukkan dekat ruangan komen. Mungkin boleh bantu yang sedang cari penyelesaian.

Nina Salleh | Empowering moms