Saya nak kongsikan pengalaman bersalin anak pertama yang takkan padam dari ingatan, insyaAllah. Hari ni Jumaat ketiga selepas saya bersalin anak pertama secara normal.
Setelah lama tak menulis di sini, ada juga sebab iaitu nak kongsikan pengalaman bersalin anak pertama kami.
Segala puji hanya bagi Allah yang Maha Mendengar dan memakbulkan segala permintaan saya. Alhamdulillah. No words could describe the feelings. Alhamdulillah, for the continuous blessing Ya Allah.
Pengalaman Bersalin Anak Pertama
Saya kongsikan pengalaman peribadi sebagai memori dan semoga dapat beri panduan untuk ibu yang bakal bersalin nanti. Namun ia boleh jadi berbeza mengikut individu. Tak ada yang boleh beri formula mudah untuk bersalin. Apa pun kena hadap je. Pengalaman saya bersalin anak pertama secara normal tanpa epidural, sebagai memori.
Permulaan Rasa Sakit Contraction
Rasa sakit nak bersalin ni bermula hari Khamis (7/11/13) . Waktu tengahari masa Zuhur tu, saya dah solat dalam keadaan sakit. Sakit kali ni bukan macam sakit sebelum ni yang tidak konsisten dan hanya Braxton-hicks cuma. Sebelum ni pun dua kali juga pergi kami ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tu gara-gara Braxton-Hicks contraction atau sakit main-main.
Braxton-Hicks Contraction?
Maklumlah pertama kali mengandung dan nak ada pengalaman melahirkan anak, maka semua nya nak menggelabah lebih, itu yang sampai 2 kali ke wad bersalin HKL. Beza sakit Braxton-Hicks dengan real contraction ialah sakitnya hanya di bahagian perut sahaja. Hanya perut je yang mengeras dan cramp manakala kalau real contraction sakitnya bukan setakat perut, sampai tarik bahagian belakang dan bahagian celah kangkang pun terasa.
Untuk ibu yang pertama kali mengandung, elakkan fikir dan sebut “tak tahu macam mana sakit” sebab bila sampai masa automatik kita akan dapat rasa tu. Jangan jadi macam saya juga yang menggelabah terlebih. Namun perlu segera ke hospital jika ada rasa pergerakan bayi dalam kandungan berkurang.
Real Painful Contraction
Sambung cerita sakit, lepas solat Zuhur saya tidur sekejap dengan harapan sakit akan hilang. Bila bangun dari tidur, iaitu waktu Asar, sakit masih terasa. Sempat lagi saya baca balik perbualan di Facebook dengan kawan-kawan yang dah selamat bersalin, cari balik tips untuk mudahkan bersalin dan tanya macam mana sakit yang sebetulnya mereka rasai.
Lepas Asar masih terasa, tetap cuba bertahan. Sakit yang konsisten, berulang-ulang dalam masa 10 minit, 2-3 minit setiap kali perut mengeras.
Bila suami balik waktu malam, sakit masih terasa. Sempat saya minta suami bawa pergi makan nasi kerabu dengan pulut mangga. Suami dah ajak pergi hospital, tapi saya masih berdegil dengan alasan malas nak tunggu lama kalau-kalau kena tahan di wad nanti akan terasa lagi saki. Dalam fikiran saya adalah lebih baik tahan sakit di rumah saja selagi masih boleh namun tetap berjaga-jaga kalau-kalau ada pendarahan, lendir atau ketuban yang keluar.
Sebenarnya waktu Zuhur sudah ada vaginal show, tapi pada waktu malam dalam jam 12 lebih banyak lagi keluar bloody show, tapi saya masih bertahan di rumah.
Memang niat nak pergi ke hospital lepas Subuh, sebab kalau pukul12 malam tu, saya fikir nanti macam susah pula nak solat Subuh. Duk fikir surau tak tahu kat mana la dan macam-macam lagi dalam fikiran. Padahal boleh je kan solat tepi katil hihi.
Air Ketuban Pecah
Berkali-kali saya cuba untuk lelapkan mata dari pukul 12 malam, kemudian pukul 2 pagi , pukul 4 pagi asyik terjaga. Pukul 5 saya sudah siap-siap mandi, dan bersedia untuk solat Subuh.
Pukul5.30 pagi, lebih kurang 10minit nak Subuh, saya berdiri dalam keadaan menahan sakit dan bersedia untuk solat, tiba-tiba terasa laju air mengalir dari bawah vagina. Habis basah telekung dan sejadah, tapi tak dapat tahan air tetap keluar. Itulah air ketuban yang keluar.
Baru la betul-betul saya dan suami menggelabah dan terus bersiap untuk ke hospital. Saya masih ingat waktu Subuh hening tu hujan agak lebat, kami pula menginap di rumah tingkat 8, masa ni juga suami saya dah bising membebel sebab dari semalam beliau ajak ke hospuital tapi saya menolak.
Tergelak-gelak saya lihat muka beliau kerisauan, macam dia pula sedang sakit nak bersalin. Haha.
Masuk dalam kereta, suami pulak tertinggal handphone. Nak taknak kena naik ambil sebab penting nanti macam mana nak berhubung kalau ada apa-apa hal. Dari tadi beliau yang sibuk fikirkan barang untuk bawa ke hospital sampaikan tertinggal barang sendiri.
Hujan Lebat Iringi Perjalanan
Alhamdulillah walaupun hujan, trafik masih lagi tenang dan tidak sesak. Tahu lah kalau di Kuala Lumpur waktu pagi di Jalan Tun Razak memang pekat sangat jem bila kereta-kereta mula masuk bandar untuk tugas masing-masing.
Sampai di HKL jam 6 pagi. Saya terus masuk ke Patient Admission Centre (PAC) Wad Bersalin HKL, syukur juga sebab saya dah ada buka file dan ada rekod di sini. Jadi masa menunggu tidak terlalu lama.
Di PAC, saya perlu tukar baju, ambil sample air kencing untuk memastikan tidak ada jangkitan kuman, buat pemeriksaan tekanan darat, berat badan, vaginal examination (cek jalan) dan doktor bertugas melakukan ultrasound scan untuk lihat kedudukan dan juga berat anggaran bayi.
Sakit Teramat Sangat
Masa tengah pemeriksaan semua ni memang sakit teramat sangat dah, hampir tak tertahan. Mulut dah basah dengan istighfar dan doa Nabi Yunus. Waktu cek jalan, saya ingatkan sudah 7/8/9 cm , rupanya baru 4cm. Sungguh mengecewakan sebab fikirkan lama lagi nak tahan sakit. Dengan sakit yang macam tu, untuk kandungan dan kelahiran pertama memang dijangkakan ambik masa dalam 10-12 jam untuk jalan terbuka sepenuhnya, baru boleh meneran.
Lepas dapat tahu baru 4cm jalan terbuka, dalam hati memang rasa tak dapat nak tahan dah kalau sakit macam ni sampai 10 jam. Terfikir nak minta operate, nak cucuk epidural , nak ubat tahan sakit sebab tak tahan. Tapi di satu sudut fikir jugak, saya dapat sakit macam ni sebab Allah bagi rasa. Kalau tidak mampu, takkan Allah nak bagi rasa sakit macam ni.
Nak Buang Air Besar
Perut rasa memulas macam nak buang air besar, bila masuk tandas memang tak boleh nak buang pulok. Nak teran lebih-lebih kang risau baby pulak yang terkeluar. Lama sangat tunggu nak membuang dalam toilet sampaikan staffnurse ketuk pintu suruh keluar sebab dia risau kita terberanak dalam tandas. Lepas keluar tandas, kena ready untuk masuk labor room sebab dah 4cm maksudnya memasuki “active phase of labour” dah.
Waktu atas kerusi roda sementara tunggu ke labor room, istighfar banyak, banyak, banyak, baca segala doa yang ingat. Minta supaya dipermudahkan dan selamat semua. Lama jugak atas kerusi roda menunggu masa untuk ditolak ke atas sementara suami daftarkan di kaunter.
Sampai labor room, dengan rasa sakitnya seluruh belakang, dari pinggul ke perut terasa bagai dipulas-pulas. Perlu tukar dari kerusi roda naik ke atas katil. Bila baring, tak boleh nak mengiring untuk kurangkan kesakitan. Perlu terlentang sebab pasang cardiotocography (CTG) untuk periksa keadaan bayi. Saya dah tak tertahan rasa sakit memang nak meneran sangat dah. Lepas saja doktor tanya sikit-sikit, hanya tinggal midwife dan saya dalam bilik. Kemudian saya terus beritahu,
‘Saya memang dah tak tahan nak terberak ni kak. Minta tolong cek jalan’
Staf bidan tadi terus semak rekod pendaftaran di PAC tadi, beliau kata baru 4cm. Tapi atas sebab nampak memang dah tak tahan sakit, dia cek jalan lagi sekali, dah 9cm katanya.
Lepas tu cepat-cepat dia siapkan set dan alat-alatan, dan dia beritahu begini, ‘okay,kalau sakit je boleh teran’. Saya dengan rasa tak percaya pun ada, terus tanya dia, ‘saya dah nak bersalin ke???!’
Lawak sungguh kalau teringat balik, sempat lagi gelak sikit-sikit sebab macam dalam mimpi, dah nak jadi ibu.
Terima Kasih Sayang, I am now a mother
Dalam hati, okay dah boleh push ni. Bila perut mengeras maknanya ada contraction je terus saya teran sekuat hati, suami di sebelah genggam erat tangan dan jadi pong-pong-boy. Dalam tengah bergelut, sempat juga dengar suami duk bagi kata-kata semangat, ‘Sayang boleh,sayang kuat’.
Alhamdulillah, jam 7.34 pagi Jumaat (8/11/13) saya selamat lahirkan seorang bayi perempuan yang sihat dan sempurna sifatnya dengan berat 2.8KG dan kami namakan Amanda Imani binti Mohd Farid.
Amanda bermaksud lovable;
Imani pula very faithful. One who has a strong faith in Allah swt.
Semoga anak ini membesar menjadi sebagaimana namanya, disenangan orang sekeliling dan disayangi seluruh yang ada di langit dan di Bumi. Ameen ya Rabb.
I am now a mother.
Setiap episod bersalin pasti ada pengalaman berbeza. Terus kuat dan berdoa banyak-banyak supaya diberi kemudahan dalam menjadi ibu yang baik.
Nina Salleh | Empowering moms