Disebabkan ada kisah anak pertama, jadi kelahiran anak kedua pun saya nak kongsi di sini biar jadi kenangan dan ingatan buat Maryam Tihani bila besar kelak.
Yang kelakar nya kelahiran Maryam ni memang mengejutkan kami semua. Masa ni kami balik kampung di Kota Bharu, saya dah sarat juga mengandung. Mujurlah bawa kelengkapan serba sedikit. Tapi silap sebab tak bawa pamper sekali. Jadi, pagi hening Subuh tu juga kena cari pampers baby.
Pengalaman Bersalin Anak Kedua
Orang kata setiap anak ada kisah berbeza. Kisah saya seakan sama cuma kami suami isteri yang terlampau rilek hingga haru biru hari sakit nak bersalin tu.
Turun Darah Sebagai Tanda
Waktu Subuh hari Jumaat 4 tahun yang lepas, saya sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat. Saya ke tandas sebab terasa seperti ingin buang air kecil. Tapi sebaliknya ada ketulan yang keluar. Saya nampak warna merah pekat dalam mangkuk tandas. Apa lagi saya terus jerit panggil suami dan beritahu yang saya dah keluar tanda untuk bersalin anak kedua kami.
Waktu itu kandungan berusia 39 minggu dan 3 hari. Suami terus ajak pergi ke hospital. Saya minta beliau sabar sebab nak solat dahulu. Lagipun masih boleh tahan sakit kontraksi. Macam biasa, isteri yang sakit tapi suami memang terlebih gelabah hihi.
Selepas solat, ibu mertua siapkan bihun goreng dan suami bancuh ESP bersama milo untuk beri tenaga nak meneran sekejap lagi. Tak lalu nak menjamah bihun goreng. Lepas siap minum, saya dan suami bergegas ke Hospital Kota Bharu.
Tinggallah Amanda Imani, puteri sulung kami bersama Tok Ummi dan Tok Ayah sementara mom berjuang untuk melahirkan adik Amanda.
Sakit kontraksi sejak malam semalam
Sebenarnya, sakit kontraksi ni dah semalaman saya tahan. Seperti anak pertama, saya tunggu hingga pecah ketuban sebelum buat keputusan untuk ke hospital.
Tapi untuk anak kedua, atas desakan suami dan ibu bapa mertua, saya akur. Walaupun belum pecah ketuban, kami terus ke hospital.
Sampai di hospital, bukaan sudah 3cm. Sementara menunggu fasa aktif kelahiran iaitu 4 cm, saya dibenarkan berehat atas katil. Namun hanya boleh berbaring kerana CTG telah dipasang. CTG ialah alat untuk pemeriksaan keadaan jantung bayi dan kontraksi. Sewaktu melayan kontraksi, bawah punggung terasa panas dan basah, tetapi bukan air kencing sebab tak rasa keluar. Sah, air ketuban dah pecah.
Saya panggil doktor untuk pemeriksan. Bukaan sudah 4cm. Saya ditolak masuk ke dalam dewan bersalin.
Penantian fasa kedua
Sambil mulut terkumat-kamit tak berhenti membaca doa ini,
Saya pegang erat tangan suami. Sesekali saya mengacip bibir kerana sakit yang teramat sangat. Sambil minta suami urutkan belakang, walaupun tidak hilangkan sakit tapi ia memberikan ketenangan kepada saya. Waktu ini, kontraksi sudah semakin kuat dan lebih kerap. Terasa seperti dipulas dari pinggang hingga ke bawah.
Ada juga rasa seperti ingin buang air besar tapi bila ke tandas, hampa, sebab bukan air besar yang keluar. Risau nak teran lebih-lebih takut terkeluar bayi dalam mangkuk tandas.
Saya hanya berdoa dan minta suami doakan dan redha atas saya. Saya percaya redha dan doa suami akan mudahkan urusan bersalin.
Masa untuk meneran
Dalam masa tak sampai 1 jam, bukaan sudah 10cm dan doktor arahkan saya untuk meneran apabila terasa ada kontraksi. Saya mengumpul tenaga dan meneran sekuat hati apabila sakit kontraksi terasa. Alhamdulillah, dengan beberapa kali teran, puteri kami yang kedua telah selamat dilahirkan, kami namakan Maryam Tihani binti Mohd Farid.
Di sebalik nama
Sekitar tahun 2015, ketika saya hamil, saya masih ingat pelbagai dugaan dan cabaran yang kami tempuhi. Ia adalah antara tahun yang paling berat dugaan untuk kami sebagai suami dan isteri setakat ini.
Sepanjang itulah saya terpaksa kuat kerana tiada pilihan. Ia sangat mengingatkan saya kepada Maryam, Ibu kepada Nabi Isa A.S yang sangat kuat ketika diuji berhadapan dengan fitnah dari kaumnya. Simbolik dari kekuatan itu, saya memilih nama Maryam.
Tihani pula bermaksud bahagia.
Bahagialah walau apa yang berlaku selagi kita tahu bahawa Pemilik bahagia sentiasa ada bersama. Semoga Maryam Tihani membesar menjadi saham Syurga untuk Mom&Papa, menyejukkan mata dan membahagiakan orang-orang di sekelilingmu, anak.
Sayang hingga ke Syurga,
Mom
27/11/2019,2300