Nina Salleh | Diet & Kesihatan Wanita

Tempat Menarik untuk Dilawati di Ipoh

Bulan November tahun lepas saya dan keluarga ke Ipoh untuk jalan-jalan sambil cari makan di sana. Asalnya saya ternampak perkongsian salah seorang kawan tentang Maze Park yang terbesar ada di sana. Apa lagi jiwa kanak-kanak dalam hati mak anak 4 ni terus meronta-ronta nak pergi ke sana.

Banyak kali juga kami tukar tarikh untuk cari masa dan ruang supaya lebih ramai dapat ikut trip balik hari ni.  Bukan senang sebab masing-masing ada komitmen kerja dan sebagainya.

Dah kenyang baru lah boleh senyum

Begitulah bila dah dewasa. Kemudian masuk ke alam pekerjaan dan masing-masing ada tanggungjawab terhadap keluarga, nak luangkan masa bersama tu bukan satu perkara yang senang.

Jadi hargailah waktu masih ada di bawah ketiak mak ayah. Walaupun jemu tengok muka adik beradik, bertarik rambut dan bertikam lidah, percayalah itu juga nanti akan dirindu. Ah tiber pulak kan.

Tempat Menarik di Ipoh

Kami tak bermalam di Ipoh. Jadi kena bertolak seawal yang mungkin supaya dapat pergi ke semua tempat yang dah dirancang. Bertolak dari rumah jam 7 supaya sempat makan pagi di Restoran New Hollywood Ipoh.

Restoran tu kalau lambat, nanti kena beratur panjang. Bukan itu aje risau banyak makanan akan habis. Kang ada yang menangis tepi bucu katil sebab tak dapat apa yang diidamkan.

New Hollywood Ipoh

Kami selamat sampai ke Restoran New Hollywood Ipoh lebih kurang jam 9 pagi.  Restoran ni menyediakan pelbagai makanan Cina yang sedap dan kena dengan tekak Melayu saya ni.

Belakang tu ramai-ramai berbaris nak masuk kedai ni

Kalau datang hujung minggu memang kena beratur. Kalau hari biasa tak pasti pula, mungkin kurang sesak berbading hujung minggu. Lepas beratur dan dapat masuk, ramai lah penjaga gerai akan datang dan persembahkan menu masing-masing gituh.

Banyak jenis pau
Antara menu kegemaran anak-anak, mee kicap simple je tapi sedap lain macam ye bila makan kat sini

Kedai ni berkonsepkan foodcourt. Ada banyak gerai makan dengan menu yang berbeza. Banyak sangat pilihan makanan.

Pau telur masin yang selalu masuk mimpi
Kemain makanan mak buyung

Kalau malas nak ke gerai-gerai, tunggu aje duduk di meja nanti akan ada yang datang ambilkan order. Harga makanan pula antara RM5-RM10 untuk setiap menu.

Alamat: Taman Canning, 31400 Ipoh Perak

Waktu operasi: 7 pagi hingga 4 petang

Nombor telefon: 6012-290 8887

Waze: Restoran New Hollywood

Kapal Korek Tanjung Tualang

Selepas makan pagi, kami ke Tanjung Tualang untuk tengok kapal korek.

Ini semua idea saya sebab saya lebih suka jalan-jalan lihat kawasan bersejarah kalau ke mana-mana. Mungkin sebab  masa zaman sekolah, saya tak dapat menghayati dari buku teks. Jadi lebih seronok kalau dapat tengok depan mata.

Zaman sekolah dulu saya memang tak pernah skor pun subjek Sejarah dan Geografi. Entah macam mana bila dah berumur jadi minat lain macam pulak ye. Haha.

Bahagian belakang kapal korek. Untuk buang bendasing yang tak diperlukan

Walaupun banyak kali ke Ipoh, ini pertama kali saya tahu tentang kapal korek yang masih terletak elok di tempat asal. Memang teruja dapat tengok dan fahamkan macam mana kapal korek ni berfungsi.

Sekarang ni baru faham, kawasan lombong ni asalnya tanah saja bukan ada tasik. Kemudian dikorek oleh kapal korek jadi dalam sehingga berpuluh meter ke bawah.

Sejarah Kapal Korek

Kapal korek bijih timah yang pertama mula beroperasi di Batu Gajah, Perak pada bulan Januari 1913. Teknologi kapal korek ni memang dah terpaling canggih masa tu.

Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 T(TT5)

TT5 merujuk kepada bilangan kapal korek yang ada di Tanjung Tualang pada ketika itu, maknanya ini yang ke-5. Banyak juga lah. Memang bandar Ipoh ni banyak disebut dalam buku sejarah cuma saya dah lupa. Kuang kuang.

Asal Usul Kapal Korek TT5

Kapal korek ni dihasilkan di England pada tahun 1938 dan mengambil masa 18 bulan untuk siap dipasang di Malaysia. Akhirnya pada bulan Ogos 1982, kapal korek ini menamatkan operasi akibat kejatuhan harga bijih timah. Bijih timah ni antara punca pendapatan utama negara kita satu ketika dulu.

Dari sisi kapal korek. Tak ada fancy pun semuanya besi nampak macam bangunan terbengkalai

TT5 digelar sebagai “The Last Dredge” atau warisan kapal korek yang terakhir dan masih wujud di negara kita sehingga hari ini. Manakala kapal yang lain sudah dijual akibat penurunan harga bijih timah.

Saiz kapal yang ini kategori sederhana dengan berat mencecah 4500 tan

Kapal korek ini akan angkut saja semua benda yang dikorek dan digali dengan menggunakan bakul pengorek di belakang kami ini.

Di bahagian hadapan kapal korek

Ada 115 bakul pengorek atau bucket yang dipasang umpama rantai basikal bersaiz gergasi. Ia akan mengorek dan mengumpul tanah sehingga kedalaman 33 meter.

Bucket dari pandangan hadapan

Bila dah angkut pasir yang bercampur dengan bijih timah, emas dan sebagainya, bakul ini akan membawa bahan tersebut ke dalam tiub pulak. Dalam tiub ini ia akan dibersihkan dan diasingkan. Selain bijih timah, yang lain akan dibuang termasuklah emas.

Bahagian dalaman kapal korek

Di bahagian belakang, semua campuran akan dibuang kembali ke dalam lombong. Dan proses yang sama akan diulang-ulang sehingga semua kawasan sudah dikorek.

Tandas juga ada di bahagian belakang. Ini terus buang air besar masuk ke lombong nama dia. Mujurlah ada di belakang, kalau di depan mungkin akan terkorek dek bakul tu ahaa.

Tandas di dalam kapal korek

Sewaktu kapal korek ni beroperasi, bunyi besi-besi dalam kapal sangat bingit sehinggakan mereka akan menggunakan alat ini untuk memanggil atau membuat sebarang pengumuman. Ramai pekerja kapal korek yang mengalami masalah pendengaran selepas berkerja disebabkan bunyi bising di sini.

Inilah alat untuk memanggil pekerja dalam kapal korek.
Ada petugas yang akan memberikan taklimat

Alamat: Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5)

Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang

Nombor telefon: 6014-9043255

Harga tiket: RM10 untuk dewasa, Rm5 untuk kanak-kanak umur 7 tahun hingga 12 tahun dan warga emas

TT5 Maze Park

Maze Park ni rupanya dalam kawasan yang sama dengan tempat TT5 Kapal Korek. Jadi alang-alang tengok kapal korek, boleh lah singgah di sini.

Dari pintu masuk Maze Park

Dalam ni memang banyak ruang macam susunan batu bata untuk teroka. Memang besar sungguh. Rasa macam duduk dalam cerita Maze Runner pulak tau. Basah jugaklah ketiak nak dapat keluar lepas berjalan dari hujung ke hujung.

Banyak tempat bergambar dalam park ni
Antara maze yang menarik perhatian dan kreatif
Kedai kopi dalam Maze Park

Kawasan dalam Maze Park ni memang Instagrammable lah, sesuai dengan jiwa anak-anak muda. Ada banyak lagi kawasan menarik dalam Maze Park ni. Cuma harap-harapnya bertahan lah dengan penyelenggaraan pun. Risau juga dengan nasib Maze Park ni sebab dekat negara kita ni tempat menarik memang banyak, cuma yang sustain tu tak banyak.

Restoran M Salim

Tak cukup syarat jalan-jalan di Ipoh kalau tak merasa makan nasi kandar. Mulanya kami ke kedai yang popular dengan nasi kandar iaitu Nasi Ganja tapi tak ada rezeki, nasi dah habis.

Kedai ni pun sedap

Kami ke Restoran S.M Salim mengikut perkongsian ada yang kata kedai ni lagi sedap. Jadi kami pun pergi je la, lagipun memang dah lapar dan nak makan nasi. Sampai sini pun nasi beriyani dah habis.

Yang ada hanya nasi putih. Hentam lah labu. Ada rezeki dan panjang umur boleh datang lagi makan nasi beriyani pulak. Yang ini pun memang sedap.

Nampak je macam ni tapi sampai 2 pinggan saya makan

Masjid Panglima Kinta

Lepas makan, kami singgah solat jamak Zuhur dan Asar di Masjid Panglima Kinta.

Masjid ni antara yang tertua, dibina pada tahun 1898 oleh Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof. Walaupun usia sudah lebih 100 tahun, binaan asal masjid masih dikekalkan kerana ia sudah diwartakan sebagai bangunan Warisan Negeri Perak.

Di hadapan masjid

Petit Mary Patisserie

Siap solat memandangkan hari masih awal nak balik ke Kuala Lumpur, kami jalan-jalan sekitar Ipoh nak mencari kedai dessert pulak. Malangnya lepas pukul 6 petang, banyak kedai yang dah tutup.

Bangunan ala-ala di Perancis

Sempat singgah kedai ni sekejap walaupun tak ada dalam list jalan-jalan Ipoh kali ni. Sebab bangunan dia nampak wow, rasa macam di luar negara gais.

Dapat kek percuma
Waktu malam jadi kurang nampak bangunan ni cute sangat

Kami dapat kek percuma mungkin sebab dah jadi pelanggan terakhir.

Kedai ni jual hidangan roti dan kek yang diilhamkan dari Paris. Antara yang popular di ini ialah macaron, Berry Berry dan Belgium Chocolate. Ada pelbagai jenis kopi juga yang dibuat dengan mesin khas.

Kalau pergi Ipoh, boleh la melawat tempat yang saya kongsikan ni. Dengan anak-anak, nak berjalan mana-mana pun kena ada perancangan rapi supaya mereka tak meragam dan kita sebagai ibu bapa boleh uruskan.

Nina Salleh |Empowering moms