“Mom, Maryam dekat mana masa mom dengan papa kahwin?”
Maryam tanya saya sambil membelek-belek album perkahwinan yang ada gambar saya dan suami. Dalam hati terkebil-kebil juga nak jawab. Bila anak tanya macam ni, kita sebagai ibu bapa jangan pula marah atau tempelak dengan jawapan sarkastik. Jawab dengan betul sebab pendidikan seksualiti bermula dari rumah.
Betapa penting untuk kita sebagai ibu bapa untuk terapkan pendidikan seksualiti sejak anak-anak masih kecil. Bukan semata-mata mengharapkan guru. Kalau boleh, sebagai ibu bapa kitalah kena jadi yang pertama untuk berkongsi hal seksualiti dengan anak-anak.
Saya pun banyak belajar dari pembacaan dan pengalaman orang lain. Masih mencuba untuk biasakan sebab kecik-kecik dulu seingat saya, memang tak terfikir nak tanya soalan macam ni.
“Maryam belum ada lagi. Lepas kahwin, baru lah Allah bagi mom dengan papa anak-anak. Mula-mula Amanda, lepas tu Maryam, kemudian Eisyal sekarang ni baby dalam perut kan”
Maryam pun jawab, “Ooo, semua Allah bagi la ye. Kalau tak kahwin tu tak ada la baby?”. Maryam, anak kedua kami memang begitu sifat ingin tahu dan dia akan tanya sampai dapat jawapan yang puaskan hati.
Kena betul-betul semak fakta dulu dan convert dalam bentuk penceritaan untuk beri anak kedua saya faham dan puas hati.
Mula Pendidikan Seksualiti Dari Rumah
Sejak zaman bujang, saya suka betul dengan tulisan Ustaz Hasrizal, banyak tulisan beliau di saifulislam.com terutama bab rumahtangga yang saya pelajari. Saya beli kesemua buku beliau dari Bercinta Sampai Ke Syurga. Banyak juga saya belajar dan faham tentang pendidikan seksualiti untuk anak-anak walaupun masa tu masih remaja.
Sekurang-kurangnya, saya boleh siapkan diri sedikit sebanyak dengan ilmu mahal ni bila ada anak nanti.
Hari ini, lepas lebih 10 tahun, saya ditanya soalan oleh anak kecil berumur 6 tahun. Ini lah titik tolak di mana pendidikan seksualiti harus dititik beratkan, daripada ibu bapa sendiri iaitu saya dan suami. Anak-anak sudah dapat bezakan dan dapat berfikir, juga ada perasaan ingin tahu yang tinggi.
Ia juga ingatkan saya bahawa jadi seorang ibu ini bukan sekadar mengandung, melahirkan dan menyusukan anak sahaja. Ia memerlukan pendidikan berpanjangan. Anak-anak sangat suci fitrahnya, coraknya kita yang tentukan dari rumah.
1. Mula ajar anak tentang sifat malu
“Mom, Amanda taknak mandi dengan Maryam dan Eisyal. Amanda nak mandi sorang”, anak sulung saya mengadu.
“Kenapa pulak, tak boleh ke tolong mandikan adik-adik?” Saya pertikaikan permintaan anak sulung, saya sangka dia malas nak tolong mandikan adik-adik. Rupanya…
“Amanda malu la. Nanti nampak, Amanda dah besar”. Dengar penjelasan anak kecil umur 8 tahun buat saya tersentak. Terasa ibu jenis apa begini. Benar, anak saya sudah besar. Perlu ada sifat malu walaupun adik beradik. Lagipun batas aurat antara perempuan pun antara lutut dan pusat perlu ada.
2. Sebut nama alat sulit dengan betul
Saya beritahu anak-anak tentang alat sulit dan ajarkan mereka nama-nama yang betul. Contohnya kalau bahagian sulit perempuan, terus sebut vagina atau faraj dan bukannya pepet atau perkataan lain yang boleh menjejaskan kefahaman.
Kalau anak lelaki pula, biasakan dengan perkataan penis bukannya dengan nama bebird atau sebagianya.
Nama yang betul akan membantu proses untuk pembelajaran seksualiti anak-anak. Tidak ada isu “malu” tak bertempat di kemudian hari. Sama-sama kita usahakan untuk biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.
3. Kenalkan batas-batas yang boleh disentuh
Setiap hari saya akan cuba pesan pada anak-anak, jangan bagi siapa sentuh bahagia punggung atau kemaluan untuk apa sebab sekalipun.
“Bahagian tersebut perlu ditutup. Ia bukan untuk ditujukkan kepada siapa-siapa, itu hak eksklusif untuk kita sahaja”, anak-anak yang lain khusyuk mendengar dan mengangguk,
Maryam tanya,
“Kalau sentuh bahu tak apa ke? Main kejar-kejar sentuh bahu?”
“Itu tak apa, yang tak boleh bahagian vagina, punggung dan dada kita. Itu untuk kita saja. Jangan buka baju depan orang. Kalau ada yang sentuh, kena jerit dan lari terus bagi orang lain dengar dan bagitahu mom dan apa okey?”
Anak-anak pun perlu diingatkan berkali-kali, mereka suci murni dan fitrah mereka masih belum tahu apa yang boleh dan apa yang tidak dibolehkan. Beritahu berulang kali agar mereka faham batas-batas dan semoga terhindar dari kemungkaran.
4. Beri jawapan yang jelas untuk anak-anak
Anak-anak tidur bilik asing dari saya dan suami sejak Eisyal, anak ketiga saya dah wean off susu badan waktu umur 18 bulan. Mereka semua tidur dalam bilik sama memandangkan semua perempuan.
“Kenapa mom boleh duduk dalam bilik dengan papa?”, ini pun Maryam tanya pada saya.
Saya jawab,
“Sebab mom dan papa dah kahwin, jadi Allah beri ada hubungan suami dengan isteri. Suami isteri sahaja yang dibenarkan dan dapat pahala untuk duduk sebilik macam ni. Dengan orang lain kita kena pakai tudung, jangan bagi nampak aurat sebab nak jaga supaya Allah sayang.
Sejujurnya, saya pun masih banyak perlu belajar. Pendidikan seksualiti dari rumah ini Insya-Allah dapat mempersiapkan anak-anak kita dengan dunia yang lebih mencabar.
Selebihnya, semoga Allah jaga.
Nina Salleh | Empowering moms