Saya makan kek gula hangus paling sedap dalam hidup di rumah seorang kawan. Ingat lagi kenangan pergi beraya di rumah beliau. Kemudian mak dia hidangkan kek gula hangus ni. Masya-Allah rasa dia memang sedap sungguh sampaikan saya je yang habiskan satu pinggan kek tu. Dasar tak malu sungguh. Makan tak toleh kiri kanan. Bukan lah sebab lapar tapi sebab kek tu kegemaran saya, jumpa pulak dengan yang paling sedap.
Biasanya kalau makan ada yang keras, ada yang terlebih manis, yang ini memang sedang elok.
Saya ada minta resepi, malangnya lepas 20 tahun pun saya tak pernah buat lagi. Dan lagi sedih sebab resepi pun dah hilang bagai angin lalu. Saya memang tak ingat langsung dah sebab waktu tu masih budak-budak. Dan saya pun belum lagi serius untuk masak memasak macam hari ni.
Walaupun bukan chef, boleh la nak puas kan anak tekak suami dan anak-anak hihi.
Resepi Kek Gula Hangus
Kek gula hangus ni ada juga yang panggil sarang semut. Mungkin sebab tekstur yang ada lubang kecil yang banyak selepas masak itu yang nampakkan kek ni seolah-olah sarang semut.
Resepi kali ni saya olah biar jadi ikut selera saya. Tak terlalu manis, tidak keras dan tidak juga terlalu lembik. Saya masak guna pengukus sebab masih belum ada microwave atau oven. Survey saja microwave setiap kali pergi kedai sepanjang 2 tahun, namun tak beli-beli juga. Bila ada resepi nak kena guna oven atau microwave, rasa la membuak sekejap nak beli.
Kek gula hangus ni lepas suami makan tadi dia kata,
“Sedap kek ni. Macam mana awak buat?” , haa faham-faham lah ye sedak ke tidak kalau macam gitu. Boleh la buat untuk keluarga di rumah.
Bahan-bahan kek gula hangus
- 1/2 cawan gula pasir
- 1 cawan air panas
- 1 cawan tepung gandum
- 3 sudu besar butter
- 4 biji telur size sederhana
- 1 sudu kecil esen vanilla
- 1 sudu kecil baking powder
- 2 sudu kecil soda bikarbonat
Cara-cara untuk buat kek gula hangus
1. Masukkan gula dalam periuk. Panaskan dengan api sederhana sehingga gula cair.
2. Masukkan air panas ke dalam periuk yang mengandungi gula. Kemudian kacau hingga sebati
3. Masukkan butterke dalam periuk air gula. Kacau perlahan-lahan sehingga butter sebati dengan air gula. Kemudian tutup api.
4. Masukkan telur, susu, esen vanilla ke dalam blender. Blend hingga sebati.
5. Masukkan pula gandum dan serbuk soda bikarbonat serta baking powder ke dalam blender. Kisar sebati.
6. Campurkan kedua-dua air gula dan bahan yang dikisar. Gaulkan supaya sebati.
7. Masukkan ke dalam loyang. Untuk hasil yang lebih baik, tapis adunan sebelum masukkan ke dalam loyang.
8. Panaskan pengkus hingga air mendidih. Barulah masukkan loyang berisi kek.
9. Kukus selama 1 jam atau hingga kek betul-betul masak. Biarkan sejuk kemudian potonglah ikut kreativiti masing-masing.
Resepi kek gula hangus ni kurang manis. Kalau suka manis, tambah gula pasir menjadi 1 cawan.
Selamat mencuba. Kalau dah cuba, jangan lupa kongsikan ya.
Nina Salleh| Empowering moms