“Saya rasa macam nak mati.”
“Saya tak cukup nafas.”
“Jantung saya berdebar tanpa sebab.”
“Doktor kata semua normal, tapi kenapa saya masih rasa tak okay?”
Jika kalian pernah mengalami situasi seperti ini, percayalah kalian bukan seorang diri.

Ramai yang mengalami anxiety atau panic attack menceritakan pengalaman yang hampir sama. Mereka pergi ke klinik, membuat pemeriksaan jantung, ujian darah dan ada yang sampai buat CT scan malah keputusannya sentiasa normal.
Simptom masih ada malah semakin teruk.
Apa yang lebih menarik, ramai daripada mereka sebenarnya mempunyai satu persamaan iaitu masalah perut.
Antara simptom biasa masalah perut:
- mengalami GERD
- kerap sendawa
- perut kembung hampir setiap hari
- mengalami sembelit
- gastrik
- rasa tidak selesa selepas makan.
Ramai terlepas pandang kaitan antara perut dan masalah emosi yang sedang dialami.
Hubungan Yang Ramai Tidak Sedar
Sejak beberapa tahun ini, semakin banyak kajian menunjukkan bahawa usus dan otak mempunyai hubungan yang sangat rapat.
Hubungan ini dikenali sebagai gut-brain axis.

Secara mudahnya, otak dan usus sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.
Apabila kita berasa tertekan, perut boleh mula meragam.
Sebab itu ramai orang mengalami sakit perut sebelum menghadiri temuduga, peperiksaan atau ketika berdepan tekanan hidup.
Tetapi komunikasi ini bukan berlaku satu hala sahaja.
Apa yang berlaku dalam usus juga boleh mempengaruhi cara kita berfikir, merasa dan bertindak balas terhadap tekanan.
Inilah yang ramai tidak sedar. Kadang-kadang bukan sahaja otak yang mempengaruhi perut. Perut juga boleh mempengaruhi otak.
Bagaimana Masalah Perut Boleh Menyebabkan Rasa Gelisah?
Bayangkan perut anda sentiasa dalam keadaan tidak selesa. Setiap hari ada angin yang terperangkap.
Perut terasa penuh walaupun makan sedikit. Asid naik ke tekak. Dada terasa ketat. Nafas pula terasa pendek.
Badan sentiasa menerima isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
Apabila keadaan ini berlaku berulang kali, sistem saraf juga mula bertindak balas.
Badan masuk ke dalam keadaan berjaga-jaga atau “alert mode”.

Lama-kelamaan, dari angin yang banyak akan mula mengalami simptom seperti:
- jantung berdebar
- rasa cemas tanpa sebab
- susah tidur
- rasa tidak tenang
- mudah panik
- rasa seperti tidak cukup nafas
Walaupun tiada bahaya sebenar sedang berlaku.
GERD Dan Anxiety: Hubungan Yang Selalu Berlaku Serentak
Mereka yang ada GERD, sering alami simptom reflux dan anxiety serentak.
Apabila asid naik ke esofagus, dada akan terasa ketat seakan-akan sedang mengalami masalah kesihatan jantung atau keadaan life-threatening yang lain.
Ada yang merasakan seperti sukar bernafas.
Ada yang merasakan seperti ada sesuatu tersekat di tekak.

Apa yang berlaku memang menakutkan, terutamanya jika seseorang tidak memahami apa yang sedang berlaku.
Otak pula mentafsir keadaan tersebut sebagai ancaman.
Lalu badan mula menghasilkan tindak balas yang menyebabkan jantung berdegup lebih laju, pernafasan berubah dan rasa gelisah semakin meningkat.
Tidak hairanlah ramai yang mengalami GERD juga mengalami anxiety.
Dan ramai yang mengalami anxiety sebenarnya mempunyai simptom penghadaman yang tidak pernah diberi perhatian.
Peranan Saraf Vagus
Salah satu sebab mengapa perut dan emosi sangat berkait adalah kerana laluan saraf vagus.
Saraf ini bertindak seperti lebuh raya komunikasi antara otak dan organ-organ dalam badan termasuk perut dan usus.
Apabila sistem penghadaman terganggu, mesej yang dihantar melalui saraf ini juga boleh berubah.
Sebab itu sesetengah orang hadapi simptom yang lebih teruk bila masalah perut semakin memuncak.
Sebaliknya, apabila penghadaman menjadi lebih baik, mereka mula berasa lebih tenang.
Bakteria Usus Juga Memainkan Peranan
Sebenarnya, bakteria dalam usus bukan hanya terlibat dalam proses penghadaman.
Hakikatnya, bakteria usus mempunyai peranan yang jauh lebih besar.
Usus sering digelar sebagai “otak kedua” kerana hubungan rapatnya dengan sistem saraf dan emosi.
Apabila keseimbangan bakteria usus terganggu, maka akan terjadi perubahan pada tahap tenaga, mood dan kualiti tidur mereka.
Adakah Semua Anxiety Berpunca Daripada Perut?
Anxiety ialah keadaan yang kompleks. Bukan semuanya berpunca dari perut.
Ia boleh dipengaruhi oleh genetik, pengalaman hidup, trauma, tekanan kerja, kurang tidur, hormon dan pelbagai faktor lain.
Namun apa yang penting ialah kita tidak boleh mengabaikan peranan sistem penghadaman.
Jika seseorang mengalami anxiety bersama-sama simptom seperti:
- GERD
- gastrik
- perut kembung
- sendawa berlebihan
- sembelit
- cirit-birit berulang
maka keadaan perut juga wajar diberi perhatian.
Mulakan Dengan Menjaga Sistem Penghadaman
Ramai terlalu fokus mencari cara untuk menenangkan fikiran tetapi terlupa melihat keadaan badan secara keseluruhan.
Kadang-kadang langkah kecil seperti memperbaiki pemakanan, mengenal pasti makanan pencetus, menjaga kesihatan usus dan memahami punca sebenar masalah penghadaman boleh memberi perubahan yang besar kepada kualiti hidup.
Saya sendiri sejak membantu mereka yang ada GERD, angin dalam badan dan anxiety mula memahami tubuh mereka dengan lebih baik apabila mereka belajar tentang hubungan antara perut dan otak.

Bukan semua masalah selesai dalam sehari. Tetapi apabila kita mula memahami puncanya, perjalanan untuk pulih menjadi lebih jelas.
Kerana akhirnya, badan kita bukan terdiri daripada bahagian yang bekerja secara berasingan.
Perut, usus, saraf dan otak semuanya saling berkait.
Kadang-kadang apabila perut menjadi lebih tenang, emosi juga mula menjadi lebih stabil.
Dan itulah sebabnya menjaga sistem penghadaman bukan hanya tentang menghilangkan kembung atau reflux.

Ia juga tentang mendapatkan semula ketenangan hidup yang mungkin sudah lama hilang. Kalau sedang tercari arah untuk baiki kesihatan, mulakan di sini hari ini.
Nina Salleh | Ubah Pemakanan untuk Baiki Kesihatan
