Pernah rasa tak selesa, ada sesuatu melekat di tekak. Bangun dari tidur memang akan terganggu.
Nak telan rasa tak hilang. Nak batuk pun macam tak keluar apa-apa. Akhirnya sepanjang hari asyik berdehem.
Kadang-kadang sampai orang sekeliling pun perasan.
“Kenapa asyik ehem… ehem… je?”
Lebih pelik, badan langsung tak ada simptom demam atau selesema. Tak batuk teruk. Tetapi lendir di tekak tetap ada setiap hari.
Ramai ingat perkara ini normal. Sampai dah hidup dalam keadaan ni dari muda sampai ke tua. Ada juga yang beli ubat batuk di farmasi, minum beberapa hari, tetapi keadaan tetap sama.

Sebenarnya, bukan semua lendir di tekak tanda badan ada penyakit. Ia adalah simptom yang boleh berlaku disebabkan beberapa keadaan kesihatan.
Ada yang hanya sementara dan tidak berbahaya. Namun ada juga yang menjadi petunjuk bahawa badan sedang mengalami masalah yang perlu diberi perhatian.
Kat sini saya akan kongsikan antara punca yang paling kerap menyebabkan lendir di tekak serta beberapa langkah yang boleh membantu mengurangkannya.
Apa Sebenarnya Lendir Di Tekak?
Sebenarnya badan kita memang menghasilkan lendir setiap hari.
Lendir ini mempunyai fungsi yang sangat penting. Ia membantu melembapkan saluran pernafasan, memerangkap habuk, bakteria dan virus supaya tidak terus masuk ke paru-paru.
Dalam keadaan normal, kita tidak akan sedar kewujudan lendir ini kerana ia ditelan secara semula jadi tanpa kita sedari.
Masalah mula berlaku apabila penghasilan lendir menjadi terlalu banyak atau teksturnya menjadi lebih pekat.
Ketika itu, kita akan mula rasa seperti ada sesuatu yang melekat di bahagian belakang tekak.
Ada yang menggambarkannya seperti “kahak tersekat” atau “ada benda tak boleh keluar.”
Kenapa Selalu Ada Lendir Di Tekak Walaupun Tak Selesema?
Ramai sangka lendir hanya berlaku apabila kita demam atau selesema. Hakikatnya, terdapat beberapa keadaan lain yang jauh lebih kerap menjadi puncanya.
1. Post Nasal Drip (Lendir Dari Hidung Mengalir Ke Tekak)
Ini merupakan antara penyebab paling biasa.
Ia berlaku apabila lendir daripada rongga hidung mengalir perlahan-lahan ke bahagian belakang tekak.
Apabila lendir terkumpul, kita akan mula rasa:
- tekak berlendir
- kerap berdehem
- rasa seperti ada sesuatu tersangkut
- batuk terutama pada waktu malam
Biasanya berlaku kepada mereka yang mempunyai alahan, resdung atau sinus. Ramai tidak sedar bahawa masalah sebenarnya bukan di tekak, tetapi bermula dari hidung.
2. GERD atau Silent Reflux (LPR)
Sebenarnya, ini lah punca yang ramai tak sedar dan tidak usaha untuk rawat dari perut iaitu punca masalah berlaku.
Apabila asid daripada perut naik sehingga ke bahagian tekak, ia boleh menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan.

Badan pula akan menghasilkan lebih banyak lendir sebagai mekanisme perlindungan.
Sebab itu ramai mengadu:
- tekak rasa berlendir
- suara mudah serak
- selalu berdehem
- rasa seperti ada ketulan di tekak
- batuk berpanjangan terutama selepas makan
Ramai tidak mengalami pedih ulu hati langsung. Sebab itu keadaan ini sering dikenali sebagai silent reflux kerana simptomnya lebih banyak berlaku pada tekak berbanding perut.
Jika awak pernah mengalami pedih dada, sendawa yang kerap, rasa masam di mulut atau batuk yang bertambah selepas makan, kemungkinan refluks asid juga memainkan peranan.
3. Alahan Yang Berpanjangan
Alahan bukan sekadar menyebabkan hidung berair.
Apabila badan bertindak balas terhadap habuk, hama, bulu haiwan, debunga atau bahan tertentu, penghasilan lendir juga akan meningkat.
Sebab itu ramai yang hanya mengalami:
- tekak berlendir
- hidung tersumbat waktu pagi
- kerap bersin
- mata gatal
Tanpa demam atau selesema. Jika simptom ini berlaku berulang kali setiap kali bangun tidur atau ketika membersihkan rumah, alahan mungkin menjadi penyebabnya.
4. Kurang Minum Air
Ramai orang tidak sangka perkara semudah ini boleh memberi kesan.
Apabila badan kekurangan air, lendir menjadi lebih pekat.
Lendir yang pekat lebih sukar ditelan dan lebih mudah melekat pada dinding tekak.
Sebab itu ada orang yang hanya minum air secukupnya beberapa hari sudah mula rasa tekak lebih lega.
Minum air kosong yang mencukupi mungkin nampak remeh, tetapi ia merupakan antara langkah paling mudah untuk membantu mengekalkan kelembapan saluran pernafasan.
5. Jangkitan Saluran Pernafasan Yang Belum Pulih Sepenuhnya
Ada juga keadaan di mana selesema atau batuk sebenarnya sudah sembuh, tetapi lendir masih tinggal.
Ini berlaku kerana saluran pernafasan masih dalam proses pemulihan. Walaupun virus sudah tiada, lapisan tekak dan saluran pernafasan masih menghasilkan sedikit lendir untuk melindungi tisu yang sedang pulih.
Dalam kebanyakan kes, keadaan ini akan beransur baik dengan sendirinya. Namun jika lendir semakin banyak, berwarna hijau pekat, berbau atau disertai demam yang berpanjangan, sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor kerana ia mungkin menandakan jangkitan bakteria atau masalah lain yang memerlukan rawatan.
6. Merokok dan Pencemaran Udara
Saluran pernafasan kita sangat sensitif terhadap asap rokok, habuk, bahan kimia dan pencemaran udara.
Apabila saluran ini terdedah kepada bahan yang merengsakan, badan akan menghasilkan lebih banyak lendir sebagai mekanisme pertahanan.

Itulah sebabnya perokok biasanya mengalami batuk berkahak terutama pada waktu pagi. Begitu juga mereka yang bekerja di kawasan berdebu atau sering terdedah kepada asap dan pencemaran.
Mengurangkan pendedahan kepada asap rokok dan memastikan rumah mempunyai pengudaraan yang baik membantu mengurangkan masalah ini.
7. Gaya Hidup Yang Kurang Sihat
Ramai tidak sedar bahawa apa yang kita makan dan cara kita menjaga badan setiap hari turut mempengaruhi keadaan tekak.
Walaupun ia bukan penyebab langsung kepada lendir di tekak, ia boleh menyebabkan badan mengambil masa lebih lama untuk pulih apabila mengalami jangkitan atau kerengsaan.
Sebab itu, menjaga kesihatan secara menyeluruh tetap penting. Badan yang sihat biasanya lebih mampu melindungi dirinya sendiri.
Cara Mengurangkan Lendir Di Tekak Secara Semula Jadi
“Penat makan ubat tapi batuk dan kahak ni tak hilang juga”. Hakikatnya, itulah akan jadi bila punca sebenar tidak dikenalpasti.
Ini beberapa perkara untuk membantu mengurangkan rasa tidak selesa pada tekak.
Pastikan badan sentiasa mendapat air yang mencukupi kerana air membantu mencairkan lendir dan menjadikannya lebih mudah ditelan atau dikeluarkan.
Jika simptom berkait dengan refluks asid, elakkan makan terlalu lewat malam dan jangan terus berbaring selepas makan. Beri masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam sebelum tidur.
Untuk pastikan masalah refluks dirawat, pulihkan perut dengan betulkan pemakanan mengikut Diet Angin.
Selain itu, tidur yang mencukupi dan mengurus tekanan harian juga memainkan peranan penting dalam menyokong proses pemulihan badan.
Kalau awak selalu rasa ada lendir di tekak, jangan terus anggap ia perkara biasa. Badan kita sentiasa memberi isyarat apabila ada sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Yang penting, jangan sekadar cuba menghilangkan kahak. Cuba cari puncanya supaya masalah itu dapat diurus dengan lebih berkesan.
Mulakan dengan perubahan kecil. Jaga pemakanan, minum air yang mencukupi, tidur yang cukup dan jangan abaikan simptom yang berlarutan.
Badan kita mungkin tidak berubah dalam sehari, tetapi dengan penjagaan yang konsisten, perubahan yang baik tetap boleh berlaku. Sertai Diet Angin boleh hubungi Nina Salleh untuk bantuan.
Nina Salleh | Gerd Gastrik Angin
