Saya nak kongsi pengalaman dijangkiti Covid-19 pada awal bulan Jun lepas. Daripada 12 orang, 10 ahli keluarga yang tinggal serumah disahkan positif Covid-19.
Bagaimana dapat tahu Positif Covid19
Pada awalnya, Abah batuk dan demam. Beliau disahkan demam denggi oleh doktor di klinik swasta tanpa membuat swab test. Kemudian keadaan Abah agak teruk dan merisaukan, kami setuju agar beliau dipantau di hospital untuk dapatkan rawatan yang sepatutnya. Sebelum Covid-19, denggi adalah penyakit yang membunuh ramai di Malaysia.
Sampai sahaja di hospital, Abah perlu menjalani swab test PCR untuk memastikan beliau bebas Covid-19 sebelum dimasukkan ke wad. Di sinilah semuanya bermula. Apa yang kami semua takuti, terjadi. Keputusan swab test mendapati Abah positif Covid-19.Waktu dapat tahu, dunia kami semua seakan-akan terhenti seketika. Semua yang di rumah terdiam dan memikirkan what’s next?
Kemudian, Abah dimasukkan ke hospital manakala kami yang lain buat temujanji di klinik swasta untuk buat swab test keesokan harinya. Kami semua disahkan positif Covid-19 kecuali suami dan anak ketiga saya yang berumur 4 tahun, kekal negatif selepas 4 kali swab test dibuat.
Apa perlu buat setelah disahkan positif Covid-19
Tindakan pertama ialah hubungi Covid Assesment Centre (CAC)yang berdekatan dengan kawasan masing-masing untuk melaporkan kejadian bagi proses notifikasi. Seterusnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat akan menghubungi untuk janji temu swab test sekali lagi. Itu waktu kes positif Covid-19 belum cecah belas ribu macam hari ini. Untuk sekarang, prosedurnya mungkin berubah dan boleh janji talian juga semakin sibuk.
Sementara dihubungi, terus lah duduk rumah dan kuarantin kendiri di bilik masing-masing dan amalkan langkah untuk cegah Covid-19. Sekiranya ada gejala seperti sesak nafas, hubungi sahaja 999 untuk dapatkan bantuan.
Gejala Covid-19 Yang Ramai Tidak Ambil Peduli
Di rumah yang sama, kami kuarantin di bilik masing-masing. Masing-masing bergejala namun tidak teruk sehingga memerlukan terapi oksigen. Ini antara gejala yang kami hadapi sewaktu positif Covid-19:
1.Batuk berkahak
Saya mula batuk berkahak pada 31 Mei, dan 1 Jun masih batuk tetapi saya anggap biasa. Saya hanya monitor kandungan oxygen dalam darah dengan menggunakan ‘pulse oximeter’. Memastikan keadaan oxygen sentiasa di paras lebih dari 97%, barulah lega dan boleh terus duduk di rumah.
2. Lenguh badan yang teramat sangat
Pada 2 Jun, badan saya semakin lenguh. Kedua-dua kaki saya sangat lenguh, urut pun tidak beri apa-apa kesan. Hari tu memang terasa nak tidur sahaja. Tidak ada demam dan selesema, hanya lenguh yang amat sangat.
Mulanya saya anggap ia seperti biasa, mungkin kepenatan memasak. Kemudian berfikir boleh jadi sebab denggi. Itulah hari di mana saya disahkan positif Covid-19, paling akhir di kalangan ahli keluarga yang lain.
3.Sakit kepala
Saya jarang sakit kepala. Kalau sakit mungkin sebab alahan mengandung. Tapi sakit yang hari tu sangat sakit terasa seperti ada batu, kalau bergerak walaupun sedikit memang sakit betul macam nak pecah kepala.
4.Hilang deria bau dan rasa
Makan dan minum hanya untuk beri tenaga kepada badan. Merasa juga makan dan minum tanpa nikmat dunia. Gejala ini antara yang paling biasa dihadapi.
Saya tidak demam, hanya seram sejuk sahaja itu pun hanya 1 malam. Walaupun tidak demam, kena hati-hati dan beringat. Sebolehnya, jika bergejala walaupun sedikit, terus asingkan diri daripada ahli keluarga yang lain untuk mengelakkan jangkitan terus menerus.
Ubat Untuk Covid-19
Setakat hari ini, masih belum ada ubat yang spesifik untuk penyakit Covid-19. Jadi, rawatan di hospital juga diberi berdasarkan gejala yang dihadapi. Contohnya kalau oxygen kurang, pesakit akan diberi terapi oxygen. Jika kuman merebak ke dalam darah, pesakit akan diberi antibiotik. Jika demam, pesakit akan diberi ubat demam.
Selain daripada kuarantin sendiri, saya juga usahakan untuk amalkan pemakanan yang sihat dan amalkan vitamin setiap hari untuk kuatkan ketahanan badan.
One thought