GERD (Gastroesophageal Reflux Disease) dan gastrik adalah masalah pencernaan yang biasa dihadapi oleh ramai orang.
Perbezaan antara GERD dan Gastrik
GERD ialah keadaan di mana isi dan asid perut tertolak kembali ke esofagus, menyebabkan gejala seperti pedih ulu hati, kesakitan di dada, dan kesukaran menelan.
Gastrik pula disebabkan oleh kerosakan pada lapisan perut, yang boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria, pengambilan ubat anti-inflamasi nonsteroid (NSAID), atau pemakanan yang tidak sihat.
Kedua-dua keadaan ini juga mungkin dipengaruhi oleh kesihatan mental seperti kebimbangan (anxiety). Kebimbangan akan meningkatkan pengeluaran hormon stres dan asid serta menjejaskan lapisan perut. Lama kelamaan ia mencetuskan keradangan pada perut.
Sebab itu kebanyakan orang anxiety ada masalah gastrik dan GERD, tapi orang gastrik belum tentu ada masalah anxiety.
Tanda Gerd, Gastrik dan Anxiety
GERD, gastrik, dan kebimbangan (anxiety) adalah tiga masalah kesihatan yang berkaitan dan sering mempengaruhi kualiti hidup . Ini antara tanda-tanda bila badan mengalami GERD, gastrik dan anxiety.
1. Tanda dan Gejala GERD
GERD adalah keadaan kronik di mana isi dan asid perut tertolak semula ke esofagus, menyebabkan beberapa gejala yang tidak selesa. Ia disebabkan oleh injap perut (lower esophageal sphincter, LES) yang lemah.
Antara tanda-tanda yang biasa termasuk:
- Pedih Ulu Hati: Ini adalah gejala utama GERD. Rasa terbakar (heart burn) yang menyakitkan di bahagian dada biasanya berlaku selepas makan atau ketika berbaring. Ini disebabkan oleh asid perut yang tertolak ke esofagus.
- Regurgitasi: Perasaan bahawa asid atau makanan kembali ke dalam mulut. Ini boleh mengakibatkan rasa pahit atau masam.
- Kesukaran Menelan (Dysphagia): Rasa seolah-olah makanan tersangkut di kerongkong, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan.
- Sakit Dada: Rasa sakit di kawasan dada yang sering disalah anggap sebagai masalah jantung.
- Batuk Kering dan Laringitis: Asid yang naik boleh juga termasuk ke dalam salur pernafasan menyebabkan ketidakselesaan pada tekak dan saluran pernafasan, menghasilkan batuk yang berpanjangan dan suara serak.
- Muntah: Dalam kes yang lebih teruk, ia akan menyebabkan muntah, terutama selepas makan.
Dalam keadaan yang lebih teruk jika tidak dirawat, ia akan menyebabkan dinding esofagus menjadi terlalu lemah hingga mengakibatkan hiatal hernia. Ia juga menyebabkan dinding lebih tebal menjadi barret esophagus. Semua ini akan rosakkan esofagus dan mencetuskan keradangan.
2. Tanda dan Gejala Gastrik
Gastrik adalah keradangan pada lapisan perut yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jangkitan kuman, penggunaan ubat tertentu, atau diet yang tidak sihat. Gejala gastrik sering kali serupa dengan GERD, dan termasuk:
- Sakit Perut: Sakit atau ketidakselesaan di bahagian atas perut adalah tanda umum gastrik.
- Kembung: Rasa penuh atau kembung dalam perut yang tidak hilang selepas makan.
- Loya dan Muntah: Rasa mual atau muntah boleh berlaku, terutama setelah makan.
- Perut Rasa Pedih: Rasa pedih di perut, yang kadang-kadang diiringi dengan pedih ulu hati.
- Kerap sendawa: Selalu sendawa walaupun belum makan
- Muntah dan berak berdarah: Dalam keadaan yang teruk, ia boleh menyebabkan berak berdarah.
Keadaan yang teruk akan menyebabkan pendarahan, ulser dan juga usus bocor.
Kebiasaanya ia bermula dengan gastrik kemudian menjadi GERD, namun boleh juga hanya salah satu.
3. Tanda dan Gejala Kebimbangan (Anxiety)
Masalah kebimbangan bukan sahaja memberi kesan kepada keadaan mental, tetapi juga dapat mempengaruhi kesihatan fizikal secara keseluruhan. Antara tanda dan gejala kebimbangan termasuk:
- Rasa Gelisah: Rasa tidak tenang dan tidak dapat duduk diam.
- Peningkatan Kadar Jantung: Jantung berdebar atau berdegup kencang, terutama dalam situasi yang mencetuskan kebimbangan.
- Masalah Tidur: Susah tidur, sering terjaga malam, atau kualiti tidur yang tidak baik.
- Ketegangan Otot: Otot mungkin terasa tegang atau lelah akibat stres berlebihan.
- Masalah Pencernaan: Kebimbangan juga boleh mencetuskan masalah pencernaan seperti kembung, gas, atau cirit-birit.
- Kepala Pening: Rasa pening atau tidak stabil yang sering kali muncul dalam keadaan kegelisahan.
4. Hubungan Antara GERD, Gastrik, dan Kebimbangan
Ketiga-tiga masalah ini mempunyai kaitan yang rapat antara satu sama lain. Stres dan kebimbangan boleh menerukkan gejala GERD dan gastrik.
Dalam keadaan stres dan kebimbangan, lebih banyak hormon stres dan asid perut akan dihasilkan. Keadaan ini akan menyebabkan radang pada lapisan perut seterusnya menyebabkan simptom GERD yang lebih teruk.
Ia juga boleh berlaku sebaliknya. Gejala seperti sakit perut dan pedih ulu hati boleh mencetuskan kebimbangan, dan keadaan ini akan menjadi satu kitaran yang perlu diputuskan.
Dengan pemakanan dan gaya hidup yang betul, insyaAllah masalah GERD, gastrik dan anxiety (GGA) dapat dipulihkan.
Sertai kelas bimbingan pemakanan untuk pulihkan GERD Gastrik dan Anxiety (GGA) hari ini.
Nina Salleh | Coach Pemakanan & Nutrisi