Menu

Rahsia Rumahtangga Bertahan lebih 10 Tahun

“Macam mana pasangan boleh tahan kahwin sampai lebih 10 tahun? Ada tips tak?” Saya ada baca soalan ni. Sebenarnya dalam hati agak risau nak beri tips apa lagi rahsia rumahtangga ‘bahagia’.

Sebab bak kata suami, Allah swt ni kalau Dia nak uji, sekejap saja. Tapi saya di sini terpanggil juga untuk berkongsi realiti dalam rumahtangga. Ia bukan tentang bahagia semata.

tips awet muda
Rahsia rumahtangga

Perkahwinan ni sangat perlukan kesabaran. Sabar. Bila isteri tengah marah, suami kena sabar. Dalam keadaan mendesak, kesabaran tu perlu atasi segalanya. Waktu dua-dua penat, sabar juga yang kena dipanggil.

Kalau semua nak ikutkan emosi, memang tak lama mana-mana perkahwinan.

Saya sendiri, banyak kali tewas. Banyak kali ego menguasai diri. Tapi saya bersyukur sangat, Allah swt anugerahkan pada saya seorang suami yang jenis diam. Jenis telan, tak simbah minyak. Jenis tenang, walaupun saya kadang ribut.

Sejujurnya, nak sabarkan diri ni, tidak semudah menulis atau mengucapkannya. Banyak masa, saya tewas. Tapi Allah swt bagi kesabaran memuncak pada suami. 

Bukan sebab saya baik sangat, tapi sebab Allah temukan pasangan yang mampu ‘cool down’ bila saya sedang ‘heat up’. Dan sebaliknya pun berlaku. Ada masa suami pula tegang, saya kena tarik nafas dan belajar bertenang.

Rumahtangga bukan soal cinta saja.

tips rumahtangga bahagia
Semuanya perlu pengorbanan

Betul, cinta itu penting. Tapi cinta saja tak cukup.

Kalau tak ada hormat, tak ada komunikasi, tak ada usaha untuk faham, cinta boleh pudar. Tanggungjawab entah ke mana.

“Sampai bila nak sabar?” 

“Sampai kita dah dapat syurga”, wah bunyi macam cliche, tapi ya, itulah dia. Di saat diri rasa di hujung tanduk, salah seorang perlu atasi dengan kesabaran memuncak.

cara bahagia sebagai isteri
Perkahwinan yang diharap hingga ke Jannah

Dunia ni medan untuk kita diuji. Begitu juga rumahtangga. Tak ada yang smooth sailing walaupun kita nampak di media sosialnya begitu. Jadi kalau ada antara kita sekarang, suami dan isteri rasa hubungan sudah tenat, jangan risau, memang itu rencahnya. Itulah jalan yang kita perlu lalui. Teruskan sabar, serahkan pada Allah swt dan pasti ada jalan.

Bahagia ini bukan pada destinasi, tapi sepanjang perjalanan itulah yang kita cari.

Saya pernah lalui fasa di mana saya rasa letih sangat. Iyalah, saya tidak berkerja yang memerlukan masuk ofis, rutin saya lebih banyak dari rumah. Letih urus anak, urus rumah, bisnes sendiri, urus emosi sendiri memang semuanya rasa tak cukup masa.

Bila suami balik kerja, saya nak dia ‘baca’ sendiri semua keletihan saya. Tapi lelaki tak selalu faham isyarat halus. Itu yang biasanya akan buat isteri kecewa dan makan hati.

Bila komunikasi tidak berlaku, mula la muncul rasa tak dihargai. Tapi satu hari saya sedar, suami saya bukan tak peduli, sebenarnya dia cuma tak tahu apa saya perlukan.

Dan saya pun mula belajar. Bukan semua benda boleh harap pasangan “automatik faham”. Kita lah yang kena mulakan, initiate the conversations. Dengan baik, tanpa nada menyindir, tanpa harapan tinggi melangit. Sekadar berkongsi, supaya dia tahu. Bila saya ubah pendekatan begini, banyak benda jadi lebih mudah.

akad nikah di masjid
Berkahwin dengan keluarga juga

Bila Rumah Tangga Rasa Macam Nak Runtuh

Ada fasa yang saya sendiri rasa, cukup lah. Cukup sampai di sini. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Rasa seperti dah tak mampu nak bertahan.

Ustazah pesan, kurangkan bercakap yang tidak perlu, lebih banyakkan berdiam untuk merintih pada Allah swt. Masa itulah kita akan ikhlas, bercerita kepada Pencipta kita tanpa ada judgement, tanpa ada berita sampai menyampai, tanpa ada pressure dari orang sekeliling. Iya, kita ada Allah swt. Maka menangis, mengadu pada Allah swt sepuas-puasnya sebab Dia Maha Mendengar.

Selepas mengadu pada Dia,  terasa seperti ada nafas baru, kehidupan baru dan peluang baru untuk baiki keadaan. Itulah magiknya kerja Allah swt ni.

Masa tu, saya belajar satu perkara,

Kalau nak bertahan dalam perkahwinan, kita kena banyak berbicara atau bermonolog dengan Tuhan, sebelum berbincang dengan manusia.

Saya tahu ada pasangan yang pernah hadapi fasa jauh hati, perang dingin, sampai rasa nak putus saja. Tapi kadang-kadang bila kita tenang, merenung balik dengan lebih rasional, tahu kedudukan kita sebagai hamba yang hanya perlu jalani saja hidup yang kita tak pinta tapi diberi nikmat yang berbondong ini, kita nampak rupanya itu semua ujian untuk naikkan ‘darjat’ kita dan bukan untuk menjatuhkan.

Anak-Anak Jadi Pengikat

Anak-anak adalah anugerah, tapi juga ujian.

Sebab masa yang sepatutnya diluang bersama pasangan, kadang-kadang berlalu dalam tak sedar sambil kita urus anak. Bila pasangan jadi nombor dua, hubungan mula dingin. Saya pun pernah rasa begitu.

anak tanpa gajet
Anak-anak ujian dan anugerah

Dalam rumahtangga ini, walaupun anak 10, tetap perlu adakan entiti suami dan isteri. Bukan hanya penuhi tanggungjawab sebagai ‘ibu ayah’, ‘ma abah’ tapi hak suami isteri terabai.

Peluk suami. Bercakap walaupun sikit. Duduk berdua walaupun 10 minit waktu anak tidur. Adakan masa untuk deep talk.

Hubungan suami isteri kena dijaga, bukan sekadar kerana cinta, tapi kerana anak-anak juga perlukan rumah yang tenang. Bila anak-anak tengok mak ayah berbaik, saling hormat, itu jadi ‘framework’ dalam kepala mereka tentang bagaimana rumahtangga sepatutnya berfungsi.

Penat Itu Biasa, Tapi Jangan Korbankan Diri

Sebagai isteri, memang akan ada banyak masa yang kita rasa “kena buat semua benda”.

Tapi saya juga belajar untuk rehat bila perlu. Suami juga belajar untuk bantu walaupun tidak sesempurna yang isteri mahukan. Isteri berhak meminta tolong dan berehat, suami juga berpeluang untuk curahkan tenaga dalam memastikan semuanya teratur.

wanita awet muda
Kesihatan diri kena utamakan

Ada hari, saya hanya pilih untuk berehat. Supaya dapat beri masa kepada diri sendiri.

Dalam mengabdikan diri sebagai isteri, kesihatan fizikal dan mental kita perlu jaga, sebab saya tahu kalau saya jatuh, seisi rumah pun boleh goyang.

Setiap hari Vivix bantu saya kekal bertenaga walau penat seharian, dan B-Complex bantu kawal emosi saya dari meletup tak tentu hala. Kena jaga dalaman, supaya luaran tak goyah.

Rahsia Rumahtangga Akhirnya Semua Tentang Redha dan Usaha

Perkahwinan bukan medan untuk bertanding siapa yang paling betul.

Tapi tentang siapa paling banyak mengalah demi kebaikan. Dan siapa yang paling banyak memberi tanpa berharap balasan semua. Itulah rahsia rumahtangga, yang senang diungkap tapi terpaling susah untuk dipraktik. Bukan apa, sebab kita belum nampak Syurga itu indahnya bagaimana. Nanti bila semua di depan mata, pengorbanan dan kesabaran kita di dunia ini pasti terasa enteng benar.

Dan tak semua masa kita akan berada di fasa “sayang sangat”. Ada masa kita hanya ada rasa “tanggungjawab”. Tapi dengan sabar, hormat dan doa, percayalah perasaan itu akan tumbuh balik.

Bila ada orang tanya, “macam mana rumahtangga tahan sampai lebih 10 tahun?”

Jawapan saya,

Saya tak tahan pun. Tapi Allah swt yang bantu saya bertahan.

Dan saya masih terus belajar di setiap hari yang saya lalui.

doa rumahtangga
Bahagia kita dari doa orang tersayang

Kadang, kita tak sedar pun sebenarnya kita sedang bertahan. Kita cuma teruskan hari demi hari, sebab tahu hidup ini bukan untuk diri sendiri saja. Ada anak-anak yang perlukan kita, ada amanah yang wajib dijaga.

Pernah satu ketika, saya rasa macam nak lari. Fed-up. Rasa semua beban atas bahu sendiri. Tapi masa itulah Allah swt hadirkan ketenangan melalui suami. Tak banyak cakap. Dia cuma kata, “Kita akan lalui dan hadap semua sama-sama.”

Itu je. Tapi cukup untuk buat saya menangis.

Ada masa, kita sebagai isteri sangat perlukan ruang untuk diri sendiri. Tapi tak pandai nak minta. Tak tahu nak cakap macam mana. Akhirnya kita simpan. Sampai meletup. Dan bila dah meletup, keadaan masa tu sudah teruk.

Perkahwinan yang bertahan bukanlah sebab tak ada masalah. Tapi sebab dua-dua pihak tak putus asa. Sanggup redah hujan dan panas sama-sama menelusuri rahsia dalam rumahtangga.

Dan saya percaya sangat, antara banyaknya cara Allah swt bantu kukuhkan rumahtangga, adalah bila kita dekat dengan-Nya. Bila kita mula jaga solat, jaga mulut, dan jaga marah. Bila kita minta kekuatan bukan dari pasangan, tapi dari Tuhan yang menciptakan hati kita dan pasangan kita.
realiti perkahwinan
Doa dan pengharapan, ada dalam setiap ujian yang diberi

Sebab itu, bila kita tengok pasangan bahagia, jangan cepat rasa rendah diri. Sebaliknya, doa banyak-banyak, “Ya Allah, kurniakan kami juga rumahtangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.”

Dan kalau hari ni ada yang sedang diuji dalam perkahwinan, jangan terus rasa gagal. Kadang, fasa ini bukan pengakhiran. Tapi peluang untuk kita sama-sama belajar semula semuanya  tentang diri sendiri, tentang pasangan, dan tentang cinta yang sebenar-benarnya perlukan pengorbanan.

Nina Salleh | Wanita, Isteri dan Ibu

vitamin malaysia
E-Book Ubah Diet

E-Book Ubah Diet

E-book ubah diet yang sesuai bagi kalian yang nak betulkan kesihatan, dengan pemakanan sebagai gaya hidup.

Dengan pembelian e-book, kalian akan dapat guide personal serta group coaching secara PERCUMA.

Leave a Reply

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Whatsapp Nina Salleh
%d bloggers like this: