Alhamdulillah, kali ni dapat menyambut Hari Raya Qurban di kampung selepas 2 tahun beraya di perantauan. Kampung saya dan suami di negeri Kelantan, di sini kalau musim raya qurban memang meriah. Meriah dengan seisi sembelihan dan melapah lembu, masak-memasak daging qurban untuk menjamu tetamu dan bergiliran untuk penuhi jemputan makan-makan macam majlis kenduri kahwin dah.
Kali ni saya bawa Fatima sekali untuk tengok orang sembelih lembu. Walaupun Fatima belum faham apa-apa, tapi bawa jugalah untuk cipta memori tu ada dengan saya.
Masakan Daging Yang Dirindui
Daging singgang ni antara masakan yang tak ditelan zaman, ‘evergreen‘ kalau di negeri Kelantan. Musim raya Qurban mesti ada rumah yang akan hidangkan menu daging singgang. Boleh katakan masakan daging singgang ni antara menu sihat sebab tak guna minyak, dan tak guna pes atau bahan perasa yang tinggi dengan monosodium glutamat(MSG) buatan. Inilah bentuk MSG yang boleh berikan kesan jangka masa panjang untuk kesihatan.
Ada juga MSG yang terkandung secara semulajadi dalam makanan seperti buah tomato dan air rebusan daging. Air rebusan daging ni antara penyedap dalam apa jua masakan, cuma kena hati-hati nanti kolesterol pulak naik mencanak.
Resepi Daging Singgang Style Kelantan
Kalau tak pernah cuba daging singgang style Kelantan, inilah masanya nak cuba resepi mudah ni. Orang bukan Kelantan pun boleh buat tau.
Menu daging singgang ni sesuai juga untuk orang yang nak kawal kalori. Cuma disebabkan oleh daging lembu, jadi tak boleh lah kerap sangat kan. Walaupun daging ni salah satu sumber protein, ia juga tinggi dengan kolesterol.
Bahan-bahan daging singgang Style Kelantan
Resepi daging singgang style Kelantan ni mudah je, bahan-bahan yang saya gunapakai ialah yang kebiasaannya ada di dapur.
Ini bahan-bahan untuk hidangan yang cukup untuk keluarga saya, ada suami, isteri dan anak-anak yang masih kecil.
- 500 gram daging dihiris. Hirisan daging perlu dibuat bertentangan dengan urat supaya daging tidak liat. (Lihat pada gambar, pisau hijau bertentang 90 darjah dengan urat daging)
- 5 biji bawang merah dihiris
- 1 labu bawang putih dihiris. Untuk daging singgang, saya suka ada rasa bawang putih yang lebih dari bawang merah.
- 3 biji cili kering dihiris (untuk dapatkan warna kemerahan)
- Lengkuas 5 inci dan tumbuk kasar
- 1 sudu besar biji ketumbar ditumbuk kasar
- Asam keping 5 keping
- 3 sudu garam atau sehingga dapat rasa yang digemari
- 2 inci gula melaka
- Air untuk kuah secukupnya
Cara-cara untuk memasak daging singgang style Kelantan
Memasak daging singgang ni sangat mudah tapi untuk seimbangkan rasa tu yang agak mencabar. Apa pun kena banyak mencuba, orang putih kata ‘practice makes perfect‘ ya. Nak capai ikut selera masing-masing tu kena banyak kali cubaan juga hehe.
Kalau selera saya, masak singgang ni saya suka yang lebih rasa lengkuas dan asam, itu baru menyengat. Jadi saya lebihkan asam dan lengkuas.
1.Rebus daging dengan air secukupnya dan masukkan sekali asam keping. Rebus hingga daging empuk.
2. Masukkan bahan-bahan lain ke dalam periuk. Cili kering tu dihiris dan saya rendam terlebih dahulu dengan air panas. Kata mak saya, bahan-bahan rempah ni lagi banyak lagi sedap dan menyengat masakan singgang kita.
3. Kemudian masukkan rempah yang ditumbuk kasar dan lengkuas. Biarkan hingga mendidih. Kacau sekejap-sekejap je.
4. Selepas masukkan semua bahan dalam periuk, masa untuk perasakan dengan garam dan gula Melaka. Kalau masak budu, masukkan 1 senduk kecil budu. Inilah resepi rahsia kebanyakan kedai yang jul singgang daging tau.
Tapi sebab saya masak sendiri, jadi memang tak masukkan budu. Kalau nak lagi sedap, boleh hidangkan dengan ikan rebus goreng dan sayur kacang panjang goreng. Memang menyengat dan terangkat.
Menu daging ni boleh la masak jarang-jarang sekali. Kalau sebulan, 2-3 kali tu masih okey. Kalau setiap hari makan daging jadi risau pulak hihi. Resepi daging singgang style Kelantan ni pun ada banayk versi. Ini versi yang saya paling suka.
Kalau suka juga, boleh kongsi tau resepi ni. Semoga dapat idea nak masak apa dengan daging lepas ni.
Nina Salleh | Empowering moms