Saya nak kongsikan pengalaman sendiri menjaga anak-anak yang disahkan positif demam denggi. Bagaimana gejala yang ditunjukkan, kemudian anak saya mendapat rawatan sepenuhnya sehingga discaj dari hospital. Ia adalah pengalaman yang tak boleh dilupakan. Demam denggi ramai yang tak ambil serius tapi ia banyak meragut nyawa.
Ini kali pertama seluruh keluarga disahkan demam denggi, bermula dengan kakak saya sendiri kemudian berjangkit dengan dua orang anak dan yang terakhir dijangkiti ialah adik saya.
Moga ini yang pertama dan terakhir menimpa keluarga kami. Demam denggi ni memang tak boleh dipandang ringan. Sejak bertahun sebelum wabak Covid-19 lagi, denggi sudah diisytihar endemik. Di Malaysia pun penyakit demam denggi sudah meragut ratusan nyawa setiap tahun.
Gejala demam denggi yang biasa
Hari bersejarah untuk saya dan suami bila anak kedua kami demam tepat pada tarikh ulangtahun kelahiran anak pertama, 8 November 2021 yang lalu.
Kebiasaannya memang saya akan perhatikan keadaan anak-anak kalau demam lebih dari tiga hari, saya akan bawa ke klinik untuk buat ujian darah. Yang utama untuk sahkan ianya bukan demam denggi.
Demam Lebih dari 3 hari
Hari pertama demam, anak saya tersedar di tengah malam. Ini agak seram sebab bukan saja terjaga dari tidur, mulut Maryam terkumat-kamit tak tahu apa disebutnya. Saya fikir sama ada dia meracau atau ada yang mengganggu.
“Maryam, bangun Maryam, ni siapa ni?”, suami gerakkan badan Maryam sambil tanya pada Maryam untuk pastikan tahap kesedaran dia pada masa tersebut. Tetapi Maryam tak menyahut, seakan-akan tak sedarkan diri. Suami minta saya tengokkan Maryam. Saya pangku Maryam di riba, walaupun tersekat dengan perut mengandung 37 minggu. Saya basahkan kain dan lap kepala Maryam, barulah dia dapat buka mata perlahan-lahan sambil cakap,
“Maryam tak boleh tidur. Maryam bunyi hantu, bising sangat”.
Masa dengar Maryam cakap gitu, saya agak meremang.
Di rumah kami, saya tak momokkan anak dengan perkataan “hantu”, memang saya haramkan diri dan suami untuk sebut perkataan “hantu” walaupun saya peminat cerita hantu, yang ini kena tengok bila anak dah tidur. Maknanya, kalau dia cakap hantu, mungkin benar dia nampak makhluk tu.
Dalam masa yang sama, saya dah terkumat-kamit baca macam-macam ayat al-Quran sambil berdoa dan bercakap dengan Maryam. Perlu tetap tenang sebab suami dah gelisah dan tak tentu arah masa ni. Saya minta suami pasang radio ayat Al-Quran biar bergema satu bilik.
Maryam mengadu bunyi bising sebab hantu. Ada juga saya tanya, dekat mana nampak hantu? Maryam tunjuk ke penjuru siling dalam bilik kami. Saya buat tenang. Sambil usap kepala dan bagitahu Maryam, kena baca doa, nanti Allah jaga. Maryam pejam mata sambil baca doa. Malam tu kami semua tidur atas lantai berlapikkan toto nipis.
Gejala warning sign untuk demam denggi
1.Cirit Birit
Hari ke-2 demam, Maryam makan bubur nasi yang saya masak. Lepas beberapa jam, Maryam cakap dia berak cair. Dalam sehari, empat kali juga Maryam cirit birit hari tersebut. Saya semakin risau sebab cirit birit ialah tanda-tanda denggi pada tahap yang bahaya (warning sign).
2.Sakit perut
Hari ke-3 iaitu hari di mana saya nak bawa Maryam untuk ujian darah, dia mengadu sakit di bahagian perut. Bertambah risau hati saya sebab sakit perut juga adalah warning sign demam denggi.
Kalau di hospital, mereka yang disahkan demam denggi dan ada gejala seperti sakit perut, muntah dan cirit birit inilah yang dirisaukan.
Ia boleh jadi tanda-tanda awal kerosakan organ akibat virus denggi yang menyerang badan. Sebab itulah jangan ambil ringan dengan demam denggi. Bila demam melebihi 3 hari, jangan lengahkan untuk buat ujian darah.
Ujian Darah Saringan Demam
Selain dari gejala demam denggi seperti yang Maryam alami, keputusan ujian darah ialah satu-satunya yang boleh memastikan sama ada ia adalah demam denggi atau sebaiknya. Prosedur di klinik-klinik kesihatan atau di hospital kerajaan, demam hari ke-3 barulah akan dibuat ujian darah.
Pada hari yang saya bawa Maryam ke klinik, mulanya hanya ujian darah biasa diambil untuk pemeriksaan bacaan darah seperti,
- Bilangan sel darah putih (WBC)
- Bilangan sel darah kuning (Platelet)
- Kepekatan sel darah merah (Hematocrit)
Selepas hampir 30 minit, keputusan ujian darah pun keluar. Sangat cepat proses kali ini sebab di klinik kesihatan sejak Covid-19 melanda negara, saringan untuk pesakit yang demam dan masalah lain diasingkan.
Keputusan ujian darah
Keputusan ujian darah Maryam nampak seperti demam denggi. Namun, untuk memastikan ia adalah demam denggi, ada satu ujian saringan denggi yang perlu dibuat iaitu Dengue NS-1. Selepas beberapa minit ujian denggi dibuat, sahlah Maryam demam denggi.
Disebabkan ada gejala seperti sakit perut dan cirit birit, Maryam perlu dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian dan rawatan yang rapi. Saya dan suami sepakat untuk Maryam dimasukkan ke Hospital Ampang kerana pada ketika itu,melalui pemerhatian pada fizikal dan keputusan ujian darah menunjukkan keadaan Maryam agak kritikal.
Pemerhatian dan Rawatan di Hospital
Dari klinik kesihatan, Maryam perlu dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku dalam perjalanan sekiranya kami bertangguh. Namun, saya dan suami sepakat untuk bawa Maryam dibawa ke Hospital Ampang dengan kenderaan sendiri.
Prosedur di Jabatan Kecemasan
Doktor dari klinik kesihatan ada berikan surat rujukan dan keputusan ujian darah untuk diberikan memudahkan urusan rujukan pesakit ke hospital. Sesampai di hospital, Maryam perlu menjalani pemeriksaan dan ujian darah sekali lagi.
Itu adalah prosedur biasa bagi memastikan keadaan semasa pesakit. Jangan risau, darah yang diambil tak habis. Kita jangan panik ya.
Sementara menunggu kemasukan ke wad, Maryam perlu dimasukkan air kerana bacaan kepekatan sel darah merah tinggi.
Sebelum dimasukkan ke wad pula, pesakit dan penjaga perlu menjalani ujian swab test untuk memastikan diri bebas dari jangkitan virus Covid-19. Ini memang satu kewajipan sekiranya di hospital, tak kira sama ada hospital kerajaan atau swasta sejak kita hidup dengan wabak Covid-19.
Untuk pertukaran, penjaga juga perlu menjalani swab test Rapid test kit (RTK) antigen di mana-mana klinik dan membawa keputusan ujian untuk diserahkan kepada jururawat yang bertugas.
Prosedur di wad kanak-kanak
Selesai semua lebih kurang jam 2 pagi, Maryam dimasukkan ke wad kanak-kanak dengan seorang penjaga dibenarkan.
Minum Air Dengan Banyak
Demam denggi masih belum ada penawar atau ubat untuk merawatnya kecuali minum air dengan banyak yang memang teramat banyak. Namun, demam denggi yang menyerang boleh membuatkan selera makan dan minum berkurang. Cabaran besar untuk beri anak kecil minum air.
Hari pertama sehingga ketiga di wad, Maryam memang makan dan minum sangat sedikit. Kesihatan Maryam agak teruk ketika ini kerana dalaman yang sedang bertarung melawan virus denggi, badan pula memerlukan tenaga untuk berkerja. Beberapa kali juga terpaksa masukkan air kerana bacaan darah yang tidak memberansangkan.
Ujian Darah Setiap 6 Jam
Sampel darah akan diambil pada pukul 6 pagi, 12 tengahari, 6 petang dan 12 malam setiap hari. Setiap keputusan darah akan dianalisis oleh doktor dan pakar kanak-kanak.
Untuk anak kecil seperti Maryam, ujian darah setiap 6 jam boleh jadi menyakitkan. Sebagai penjaga, sabar sahaja dan jangan bertindak memerahi petugas kesihatan kerana mereka sedang berusaha sedaya upaya untuk beri yang terbaik bagi memastikan kesihatan anak-anak kembali seperti biasa.
Saya pun faham sangat bila tengok anak dicucuk situ sini, memang boleh mengalir air mata.
Perkembangan penyakit demam denggi perlu dilihat melalui keadaan fizikal dan ujian darah berkala. Kerana ada beberapa fasa demam denggi, boleh jadi fizikal rasa sihat namun dalaman sedang dalam fasa kritikal. Ia bahaya dan boleh meragut nyawa.
Sukat Makan, Minum dan Isipadu Air Kencing
Sewaktu menjaga Maryam di hospital, ini ialah yang paling mencabar. Saya bukan saja perlu pastikan Maryam makan dan minum dengan banyak, malah perlu sukat air kencing Maryam. Bayangkan dengan perut yang sarat mengandung 37 minggu, setiap kali minum dengan banyak, Maryam akan ke tandas dan saya perlu temani untuk tahu jumlah air kencing.
Begitulah demi anak. Masa tu sakit sendiri pun tak sempat nak fikir dah, buat apa saja dan doa sentiasa supaya Allah beri kesembuhan kepada Maryam.
Pastikan Suhu Badan Normal
Waktu hari ke-4 di hospital, suhu badan Maryam tinggi hingga mencecah 40°C . Dalam masa yang sama pula doktor pakar kanak-kanak tidak benarkan pemberian Paracetamol kepada Maryam.
“Kita tak boleh bagi ubat demam sebab nak monitor fasa denggi. Lagipun hati Maryam ada sedikit bengkak”, katanya.
Jadi, satu-satunya cara untuk turunkan suhu badan ialah dengan basahkan kepala dan kerap buat tepid sponging.
Rutin di Wad Kanak-Kanak
Kemasukan pesakit silih berganti, Maryam lah yang paling lama di wad 4B Hospital Ampang. Disebabkan keadaan kesihatan yang turun naik sebelum memasuki fasa penyembuhan demam denggi, Maryam memerlukan pemerhatian yang rapi dari petugas kesihatan.
Antara risiko yang Maryam mungkin hadapi sepanjang fasa kritikal ialah:
- Pendarahan dalam perut
- Kerosakan organ dalaman
- Hypovolemic shock
- Tidak sedarkan diri
Petugas kesihatan akan kemaskan katil jam 7 pagi
Pengagihan Makanan
- Sarapan jam 8 pagi
- Makan tengahri jam 1
- Minum petang jam 4
- Makan malam jam 7
Sepanjang di hospital, kami dihidangkan dengan menu yang sangat menyelerakan. Bila selera makan kembali seperti biasa, habis licin Maryam makan. Memang seronok katanya macam duduk hotel. Istimewanya hotel kali ni tak perlukan apa-apa bayaran. Heheh
Pemeriksaan oleh jururawat
Pemeriksaan tekanan darah, suhu badan, denyutan nadi dan oksigen dalam badan akan dilakukan secara berkala oleh jururawat. Waktu malam akan dikejutkan untuk pemeriksaan tu biasa. Jangan pula expect tidur yang nyenyak sepanjang malam macam di hotel ya.
Ward round oleh pegawai perubatan
Setiap hari ada dua sesi ward round oleh doktor pakar kanak-kanak, dan juga ada sesi round oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Sepanjang dalam wad, bersedia sahaja untuk menjawab setiap persoalan yang boleh jadi berulangg-ulang. Disebabkan orang berbeza yang bertanya dan memang itulah cara untuk mengurangkan error dalam pemberian rawatan kepada pesakit.
Kita mudahkan urusan perawat, insyaAllah urusan kita pun akan dimudahkan.
Pengalaman yang mahal tahun 2021. Tak sampai sebulan lepas tu, keluarga kami diserikan dengan kelahiran cahaya mata kami yang ke-4. Benarlah, selepas hujan akan ada pelangi. Lalui setiap sesuatu dengan tenang. Semuanya akan pasti berlalu.
Nina Salleh | Empowering moms
One thought