Kebelakangan ni ramai pula yang ada masalah pre-diabetic dan minta petua turunkan gula dalam darah. Bila faham bagaimana boleh jadi gula tinggi dalam darah, insyaAllah lebih mudah nak kawal nanti.
Lebih risau disebabkan oleh pendedahan kepada makanan yang tinggi gula secara nyata atau tersembunyi, menyebabkan lebih ramai orang muda, awal 30-an yang dapat penyakit kencing manis, darah tinggi dan banyak lagi.
Bagaimana Terjadi Gula Tinggi Dalam Darah
Kandungan gula yang tinggi dalam darah, atau hiperglisemia, berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah. Ia biasanya dikaitkan dengan penyakit kencing manis dan juga mereka yang ‘bakal’ mendapat penyakit tersebut.
Dan keadaan gula tinggi dalam darah boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
1. Pengambilan makanan tinggi karbohidrat:
Makan makanan yang tinggi gula atau karbohidrat secara berlebihan boleh meningkatkan paras gula dalam darah. Ini termasuklah makanan roti putih, nasi, biskut tawar dan pasta.
2. Terlupa atau tidak cukup dos ubat kencing manis:
Bagi mereka yang menghidap kencing manis, tidak mengambil ubat-ubatan seperti insulin atau pil bagi mengawal gula dalam darah mengikut jadual boleh menyebabkan paras gula meningkat.
3. Tekanan dan kurang senaman:
Tekanan fizikal atau mental boleh meningkatkan hormon stres dalam badan, yang seterusnya boleh meningkatkan paras gula darah. Aktiviti fizikal yang kurang juga menyumbang kepada masalah gula tinggi dalam darah.
4. Penyakit atau jangkitan:
Apabila badan sedang melawan penyakit atau jangkitan, ia boleh menyebabkan gula dalam darah meningkat. Disebabkan oleh keradangan yang sedang berlaku.
5. Perubahan hormon:
Bagi sesetengah orang, perubahan hormon seperti semasa haid boleh mempengaruhi paras gula dalam darah.
Keadaan gula tinggi dalam darah yang berterusan tanpa rawatan atau perubahan gaya hidup boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius seperti kerosakan saraf, kerosakan buah pinggang, dan masalah jantung.
Sebab itu sangat penting untuk mengurus paras gula darah dengan baik melalui diet, gaya hidup iaitu senaman, kawal stres dan jaga kitaran tidur.
Petua Turunkan Gula dalam Darah
Beberapa petua untuk turunkan gula dalam darah yang boleh diamalkan sebagai ikhtiar bagi mengelakkan masalah kesihatan yang lebih teruk.
1. Ubah Gaya Pemakanan:
Ubah pemakanan harian dengan menghadkan pengambilan karbohirat. Dan lebihkan protein serta lemak sihat seperti kekacang, sayuran hijau, ayam, daging dan telur. Ini akan membantu mengurangkan glukosa dan menurunkan paras gula dalam darah.
2. Jadikan Puasa Berkala Sebagai Gaya Hidup:
Untuk menjaga sensitiviti insulin, perlu kurangkan kekerapan makan dengan puasa berkala dan perbanyakkan puasa sunat. Dengan ini, kita akan lebih berdisiplin dalam bab makanan. Tidaklah mengunyah 24 jam yang akan menyebabkan gula tinggi dalam darah.
3. Aktiviti Fizikal:
Bersenam secara berkala, seperti berjalan kaki, berenang, atau senaman ringan, dapat membantu badan menggunakan glukosa dengan lebih berkesan.
4. Hidrasi yang Mencukupi:
Minum air yang mencukupi membantu menyingkirkan lebihan glukosa melalui air kencing dan mengelakkan dehidrasi.
5. Pengurusan Tekanan:
Cuba kawal tekanan dengan teknik relaksasi, seperti yoga, meditasi, atau pernafasan dalam, yang boleh membantu menstabilkan paras gula darah.
6. Tidur yang Cukup:
Usaha untuk dapatkan tidur malam yang cukup dan berkualiti, kerana tidur yang tidak mencukupi boleh menjejaskan metabolisme glukosa. Kitaran tidur adalah sama pentingnya dengan menjaga pemakanan dan senaman.
7. Pemantauan Gula Darah:
Sekiranya sudah ada gejala pre-diabetic, kerap memeriksa paras gula darah akan membantu mengenalpasti gaya hidup dan makanan yang bagaimana mempengaruhi gula dalam darah. Dengannya, kita akan dapat lakukan perubahan yang sewajarnya.
8. Pengambilan Makanan yang Mengawal Gula:
Ada beberapa makanan yang membantu menstabilkan gula dalam darah serta mengurangkan ketagihan pada karbohidrat antaranya:
- Kulit kayu manis
- Cuka epal
- Teh hijau
Ini antara petua yang boleh diamalkan untuk mengelakkan risiko penyakit yang lebih teruk. Untuk bantuan dan bimbingan diet dan pemakanan, boleh sertai diet FBM. Panduan lengkap untuk ubah pemakanan dan jadikan ia sebagai gaya hidup.
Nina Salleh | Coach diet FBM